Molek FM terima Anugerah Kecemerlangan Dalam Komunikasi Media bagi kategori radio.
Molek FM terima Anugerah Kecemerlangan Dalam Komunikasi Media bagi kategori radio.
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Stesen radio, Molek FM menerima Anugerah Kecemerlangan Dalam Komunikasi Media bagi kategori radio pada Anugerah Perniagaan Keusahawanan Kelantan 2022 di Kota Bharu, baru-baru ini.

Kejayaan itu adalah hasil usaha dan kerjasama barisan kakitangan serta penyampai stesen radio yang sentiasa menampilkan terbaik buat pendengar.

Pengurus Kandungan Molek FM, Muhammad Shahrir Ainudin berkata, stesen radio yang mula bersiaran pada pertengahan Januari lalu itu berjaya memberi impak positif serta meraih sambutan baik daripada pendengar di Pantai Timur.

"Alhamdulillah, untuk sebuah stesen radio baru beroperasi selama empat bulan ini, sambutan daripada pendengar Pantai Timur amat positif dan sangat memberangsangkan.

"Saya mewakili pihak pengurusan Molek FM dan barisan penyampai radio iaitu Mek Zura, Fizie, Kamilia, DJ Nazz, Mat Dan dan Kai Hassan sangat bersyukur di atas penganugerahan ini. Kami akan memberikan lebih banyak kandungan dan pengisian menarik pada masa akan datang," katanya.

Menurut Shahir, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pendengar setia mereka kerana sentiasa berada di belakang dan terus menyokong radio itu.

"Molek FM akan terus menjadi peneman setia kepada pendengar setiap masa dan di mana saja anda berada. Gu Pantai Timur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 7:50 PM