ALICIA sentiasa mempermudahkan urusan Kyle menyiapkan filem sulungnya.
ALICIA sentiasa mempermudahkan urusan Kyle menyiapkan filem sulungnya.
Najiy Jefri

JANGAN menilai buku dari kulitnya. Pepatah ini sesuai untuk mengingatkan kepada diri setiap individu supaya tidak menghakimi seseorang tanpa mengenali secara dekat terlebih dahulu.

Siapa sangka, wanita yang sering dilabel sombong, bersikap lantang dan terbuka sebenarnya mempunyai sikap yang cukup baik serta cukup disenangi oleh pengarah dan penerbit Kotaki Studios Sdn Bhd, Kyle A Halim.

Wanita yang dimaksudkan itu adalah model dan pelakon sensasi, Alicia Amin yang disifatkan cukup membumi dan memiliki keperibadian yang baik.

Katanya, dia tidak ambil peduli jika ada yang mempertikaikan tindakannya memilih Alicia untuk membintangi filem sulung bergenre thriller dan seram arahannya berjudul The Disappearance of Irdina Adhwa.

"Asalnya saya memilih pelakon lain. Bagaimanapun, disebabkan tiada kata persetujuan, pengurus produksi mencadangkan nama Alicia.

"Saya terus bersetuju dan tidak menganggap pemilihan Alicia sebagai satu masalah. Bagi saya, bukan kontroversi atau sensasi jadi ukuran, sebaliknya saya mahukan pelakon yang boleh membawa karakter dengan baik.

"Kali pertama bertemunya, nyata Alicia berbeza dengan persepsi yang dilemparkan kepadanya. Jauh beza bagaikan bumi dengan langit.

"Alicia mesra, mudah didekati dan sangat baik hati. Dia tahu saya berasal dari Sandakan, Sabah dan tinggal bersendirian sepanjang penggambaran di Semenanjung, jadi dia yang selalu mengambil berat mengenai saya," katanya.

Menurutnya, dia terharu dengan sikap pemurah pelakon kelahiran Johor Bahru itu yang banyak melaburkan wang untuk filem The Disappearance of Irdina Adhwa ketika penggambaran tahun lalu.

"Sebab itu kita jangan menilai seseorang dari sudut luaran, kena kenal hati budi. Bagi saya, Alicia rakan yang baik dan mudah bekerjasama.

KYLE memberi tunjuk ajar kepada Alicia untuk menjayakan wataknya.
KYLE memberi tunjuk ajar kepada Alicia untuk menjayakan wataknya.

"Selain itu, Alicia juga sering memberikan kata-kata semangat kepada saya sepanjang penggambaran," katanya.

Kata pengarah berusia 28 tahun itu, Alicia banyak menghulurkan pertolongan dan memudahkan proses penggambaran filem The Disappearance of Irdina Adhwa.

"Saya masih ingat, Alicia menghubungi saya kerana tahu saya sedang mencari peralatan memanah untuk penggambaran.

"Jadi, Alicia mengajak saya ke sebuah kedai di Sungai Buloh, tetapi kedai berkenaan tutup. Alicia kemudian membawa saya ke Bangi.

"Sebenarnya saya tidak bercadang membeli peralatan memanah ini, tetapi Alicia mungkin tahu saya perlu berkira-kira dengan bajet. Dia terus mengambil peralatan ini dan membayarnya," katanya.

Bercerita mengenai pemilihan Alicia sebagai teraju utama, Kyle berkata, kemampuan bertutur dalam dialek Sabah dengan baik menjadi salah satu faktor Alicia layak membawa watak Sofia.

"Naskhah ini menggunakan 20 peratus dialek Sabah, selebihnya bahasa Melayu. Jadi, pemilihan Alicia sangat tepat kerana mampu bertutur dengan baik.

"Saya memang terkejut kerana Alicia bukan berasal dari Sabah. Rupa-rupanya Alicia kerap ke Sabah untuk menyertai Pesta Kaamatan," katanya.

Selain Alicia, filem sulung terbitan Kotaki Studios itu turut dibintangi Syazuwan Hassan, Josiah Hogan, Bulan Terry, Nafiz Muaz, Melanie Tan, Nelissa Nizam, Hasmira Azmi dan Abbas Mahmoud.

Filem The Disappearance of Irdina Adhwa yang menjalani penggambaran di Melaka dan Kundasang, Sabah selama 15 hari mengisahkan Sofia menyertai tujuh rakan kolej bercuti dan berkelah sebaik majlis graduasi selesai.

Namun berlaku kejadian tidak diingini dan diselubungi misteri apabila salah seorang rakannya terbunuh ketika mereka menginap di sebuah rumah peranginan pada malam pertama.

Bagaimanapun, Sofia dan rakan-rakannya terperangkap dalam rumah peranginan berkenaan dan tidak boleh keluar minta pertolongan untuk menyelamatkan diri.

Filem ini menemui penonton menerusi tayangan di Astro First pada 24 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 6:30 AM