JOSIAH  lebih utamakan soal bayaran.
JOSIAH lebih utamakan soal bayaran.
Sudirman Mohd Tahir


SEBELUM ini pelakon, Josiah Hogan, 36, dikenali dengan imej berambut panjang.

Namun, kemunculannya pada sesi tayangan filem The Disappearance of Irdina Adhwa, baru-baru ini dengan potongan rambut pendek memberikan penampilan yang segar.

Josiah atau nama sebenarnya Josiah Padilla Hogan berkata, keputusan memotong rambut pendek selepas mendapat tawaran membintangi telefilem selain bayaran diterima agak tinggi.

"Selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) saya mendapat tawaran untuk berlakon dalam telefilem dan cara pembikinannya seperti filem serta bayarannya agak tinggi waktu itu. Pihak produksi ketika itu minta saya berambut pendek untuk watak yang perlu dimainkan.

"Memandangkan mereka menunggu saya sejak sebelum PKP lagi jadi saya bagi inisiatif. Selepas itu saya dapat lagi tawaran dan perlu berambut pendek juga. Selepas itu buat penggambaran iklan dan potong lagi pendek. Jadi, ia bersambung sampai sekarang. Bagi saya, cantik sebenarnya bila kita ada kelainan setiap kali kemunculan kita. Rambut boleh tumbuh balik jadi tidak jadi masalah pun," katanya.

Menurut Josiah yang dilahirkan di Texas, Amerika Syarikat, dia berharap dengan penampilan baharu yang diberikan itu dapat memberikan tuah dalam kerjaya.

"Boleh jadi juga dengan penampilan baharu ini saya akan memberi tuah dan kelihatan segar. Tapi bermula tiga tahun lalu memang saya akan selalu buat apa yang pengarah atau penerbit minta.

"Selepas PKP, alhamdulillah semua perkara bergerak dengan lancar dan kadang-kadang kita minta sikit tapi pihak produksi bagi lebih. Jadi, saya rasa tidak begitu terjejas dengan kehadiran pelakon baharu dan kebanyakan pelakon baharu yang bekerja dengan saya mereka agak profesional.

"Kadang-kadang pelakon baharu ini macam sudah lama dalam bidang lakonan. Tapi mungkin sekarang ini pihak produksi sudah mula ambil pelakon yang betul-betul boleh berlakon dan saya rasa kebanyakan pelakon baharu yang pern

ah berlakon dengan saya semuanya bagus. Mereka dengar kata, datang awal dan kreativiti mereka juga bagus," katanya.

Berkongsi lanjut, Josiah juga tidak kisah sekiranya wajahnya jarang menghiasi slot perdana asalkan 'job' lakonan tidak putus.

 JOSIAH tak kisah jika tak berlakon dalam slot popular.
JOSIAH tak kisah jika tak berlakon dalam slot popular.

Malah, selepas 12 tahun lalu berkecimpung dalam bidang seni, Josiah berkata, dia kini lebih mementingkan nilai bayaran.

"Selepas lebih 10 tahun bergelar pelakon, saya kini lebih mengutamakan produksi yang menawarkan upah lebih tinggi. Biarlah wajah tidak kelihatan di stesen televisyen popular, asalkan masih ada penerbit sudi mengambil saya berlakon.

"Ada masanya saya sendiri terkejut kerana bayaran diberi memuaskan. Jika diukur kepada jumlah pengikut di laman sosial dan populariti, siapalah saya. Tapi alhamdulillah masih ada penerbit yang masih mempercayai bakat saya.

"Biasanya kalau ada dua tawaran datang serentak, antara watak sampingan dan utama, tentunya saya akan memilih watak utama kerana bayarannya lebih tinggi. Apa yang membuatkan saya berasa terkejut, kadang-kadang harga yang ditawarkan lebih tinggi daripada apa yang saya minta," katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya lakonan, Josiah atau nama Melayunya, Mohamad Musleh berkata, dia menawarkan diri untuk melakukan sendiri aksi lagak ngeri memandangkan aksinya tidak terlalu ekstrim dalam filem The Disappearance of Irdina Adhwa.

Menurutnya, pengalaman membintangi filem KL Vampires dan Wira banyak membantunya menjayakan watak dalam filem arahan Kyle A Halim itu.

Katanya, dia mengaplikasi apa yang pernah dipelajari menerusi dua filem terdahulu ke dalam filem terbarunya.

"Saya meminta kebenaran pengarah untuk melakukan sendiri babak aksi kerana saya tidak mahu penonton nampak perbezaan pada susuk tubuh sekiranya saya menggunakan khidmat pelakon 'stand in' untuk watak bertopeng dan tidak bertopeng.

"Sebenarnya babak aksi dalam filem itu tidaklah terlalu berat. Saya mengaplikasikan cara melompat dan jatuh yang dipelajari sebelum ini ke dalam filem The Disappearance Of Irdina Adhwa, jadi sebenarnya tidaklah sukar sangat untuk menghayati watak dalam filem itu.

"Babak paling sukar adalah memanah. Tidak mahu penonton nampak kekurangan saya ketika memanah, saya dan Alicia Amin dihantar mengikuti kelas memanah selama lapan hari di Wangsa Maju," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 6:13 AM