Penyampai radio Molek FM
Penyampai radio Molek FM
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Molek FM stesen radio Media Prima Audio (MPA), Molek FM yang mensasarkan pendengar dalam kalangan masyarakat pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, semakin mendapat tempat selepas hampir dua tahun beroperasi dalam industri radio komersial.

Selaras keperluan semasa menjelang 2024, Molek FM memperkenalkan barisan penyampai baharu sebagai langkah strategik untuk terus relevan, meningkatkan mutu dan memberi yang terbaik kepada pendengar.

Barisan penyampai baharu melalui proses pemilihan teliti dengan memberi penekanan kepada kemahiran profesional dan pengalaman luas dengan nilai dan identiti Molek FM.

Setiap penyampai di Molek FM membawa elemen unik yang akan menyumbang kepada kualiti kandungan dalam penyiaran radio.

Molek FM memperkenalkan barisan penyampai baharu bagi segmen Molek Pagi, setiap Ahad hingga Khamis, mulai jam 6 pagi hingga 10 pagi. Inilah satu-satunya segmen di Molek FM yang menampilkan gandingan duo DJ Nazz dan Qila.

Qila berusia 24 tahun dan berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat, mencapai impiannya untuk menjadi penyampai di stesen radio itu.

Selain penyampai radio baharu, Molek Pagi juga datang dengan ciri baharu iaitu 'Kerusi DJ Nazz' dan 'Qila Lapa'.

Kerusi DJ Nazz yang sebelum ini hanya disiarkan di YouTube Molek TV, kini memberi pengalaman berbeza kepada pendengar apabila dibawa secara 'on-air'. Pendengar boleh kongsi cerita menarik yang dapat memberi inspirasi insan lain.

Selain itu, pendengar boleh berkongsi gerai atau restoran menyajikan juadah enak dalam segmen Qila Lapar.

Melalui slot Molek 10-3, Mek Yan setia menemani pendengar setiap Ahad hingga Khamis, mulai jam 10 pagi hingga 3 petang. Slot ini menawarkan kandungan baharu iaitu Lagu Soho Di TikTok yang memainkan lagu viral di TikTok.

Slot Molek Petang bersama Mat Dan akan ke udara dari jam 3 petang hingga 7 malam. Pada masa sama, pendengar boleh kongsi kandungan TikTok yang menarik bersama Mat Dan dalam 'Jupe Kat TikTok'.

Mat Dan juga akan berkongsi satu lagu setiap hari dan alasan dendangan itu dipilih.

Bagi slot Molek Malam, seorang lagi wajah baharu di Molek FM, Anna Aljuffrey membawa segmen Molek Rindu khusus untuk pendengar yang sedang dilamun cinta atau mahu meluahkan perasaan.

Sementara itu, Pengarah Rangkaian Kumpulan (Molek FM, FLY FM dan Eight FM), Moots, berkata usaha memperkenalkan penyampai dan kandungan baharu adalah keputusan besar buat Molek FM.

"Memilih penyampai radio bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi individu yang boleh berkomunikasi dalam dialek Pantai Timur.

"Selain membawa kebolehan dalam bidang masing-masing, mereka ada semangat dan komitmen menjadikan Molek FM sebagai destinasi utama bagi kandungan Pantai Timur.

"Kami sentiasa merancang strategi baharu agar tidak ketinggalan dan memberi yang terbaik kepada pendengar setia," katanya dalam kenyataan.

Tambah Moots lagi, pendekatan yang dibawa adalah satu daripada inisiatif untuk lebih dekat dengan pendengar, terutama di Pantai Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 12:48 PM