JANNA Nick.
JANNA Nick.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara popular, Janna Nick mendedahkan golongan pesakit mental berdepan situasi otak yang sangat bising.

Janna berkata, disebabkan itu, dia kadang-kadang bercakap dengan kuat dan ia bukan kerana dia seorang 'happy go lucky' atau 'loud'.

"Hati rasa lain, otak cakap lain. Bayangkan duduk sendirian atau di tengah keramaian. Selain daripada suara-suara orang. Pesakit mental kena berlawan dengan suara-suara dalam kepala sendiri. Bukan satu suara, lebih empat hingga lima suara sepanjang hari," tulisnya menerusi Instagram. 

Menurutnya, dia hanya tidur waktu yang paling sunyi dan paling tenang serta mengakui ubat-ubatan sangat membantu proses ini. 

Dalam masa sama, Janna berkongsi satu watak yang dekat dengannya iaitu individu yang mengalami masalah bipolar dalam drama bersiri berjudul Misteri Mona lakonannya.

"Sepanjang penggambaran drama itu saya selalu rasa lemah dan migrain. Watak seorang pesakit yang menghidap 'schizophrenia', tetapi sentiasa 'overdose' dengan ubat-ubatan disebabkan suami dia cuba nak kawal sakit dia," katanya.

Janna berkata, tahap kesihatannya semakin teruk selepas itu. Dia turut mengakui tidak tenang melihat semula lakonannya dalam drama terbabit.

"Setiap hari balik shooting (penggambaran}, saya jadi lesu. Otak saya penat. Saya tak nak jumpa orang, tak nak bersiap," tulisnya.

Terdahulu menerusi Instagram, Janna menegaskan kesihatan mental seharusnya menjadi keutamaan dalam apa saja perkara dan tidak dapat dibeli.

April lalu, Janna tampil mendedahkan di Instagram bahawa dia mengalami masalah gangguan bipolar selain mengaku pernah membuat cubaan bunuh diri sebanyak dua kali ketika berusia 14 dan 15 tahun.

Menerusi satu hantaran di media sosial itu, Janna berkata, dia juga bergantung dengan ubat anti kemurungan serta mendapatkan pemerhatian rawatan daripada doktor pakar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 4:47 PM