Janna Nick.
Janna Nick.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Keadaan kesihatan pelakon, Dini Schatzmann yang dimasukkan ke hospital akibat demam dan jangkitan kuman, Ahad lalu kini beransur pulih.

Kekasihnya, Janna Nick yang juga pelakon popular berkata, walaupun semakin pulih tetapi timbul bintik merah pada badannya.

"Dini jarang sakit kerana dia mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat. Jadi, apabila jadi perkara begini ia adalah sesuatu yang besar buat saya. Semestinya perkara ini membimbangkan saya.

"Kesihatannya beransur pulih, cuma mula timbul bintik bintik merah yang seperti menunjukkan tanda denggi. Namun, buat masa ini platlet darahnya masih baik lagi. Dini tidak suka bergantung kepada ubat, jadi saya sangkakan bintik merah itu disebabkan alahan terhadap ubat-ubatan yang dimakan.

"Saya juga sebenarnya kurang sihat kerana cuaca di lokasi penggambaran kurang menentu, sekejap panas dan sekejap hujan. Boleh dikatakan setiap dua hari saya ada membuat ujian saringan Covid-19 dan keputusannya negatif," kata pemenang Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH34), Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Janna juga pelik dengan komen segelintir netizen mengatakan dia hendak menutup cerita kemenangannya di ABPBH34 dengan berita Dini kurang sihat.

"Kenapa saya hendak tutup cerita kemenangan itu? Terpulang kepada persepsi masing-masing mengenai hal ini," katanya.

Terdahulu, Janna menerus Instagram Story memuat naik foto dia memegang tangan Dini yang sedang terbaring di katil hospital.

Pada malam kemuncak ABPBH34 Sabtu lalu, pasangan itu menarik perhatian ramai apabila tampil dengan fesyen unik dengan mengenakan topeng penuh.

Janna tampil dengan busana sekuin rona perak manakala Dini menggayakan sut rona hitam dengan topeng memaparkan angka enam.

Rata-rata pengguna media sosial melabelkan pasangan bahagia itu sebagai Kim K dan Squid Game versi Malaysia.

Janna muncul sebagai Bintang Paling Popular dengan mendapat lebih 86 juta undian. Selain itu, dia turut membawa pulang trofi Pengacara TV Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 12:06 PM