JANNA Nick (petak merah) masih belum jumpa ubat yang sesuai dengan penyakit yang dihadapinya.
JANNA Nick (petak merah) masih belum jumpa ubat yang sesuai dengan penyakit yang dihadapinya.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Janna Nick mengakui belum menemui ubat yang sesuai bagi merawat masalah gangguan bipolar yang dihidapinya.

Janna berkata, sehingga kini dia sudah empat kali menukar ubat apabila terdapat ubat yang diambil tidak sesuai dengan kerjayanya sebagai pelakon.

"Ubat pertama yang diambil sangat berkesan untuk minda tapi untuk kerja ia amat mengganggu.

"Sebagai pelakon saya perlukan emosi yang maksimum kerana kalau kena bawa babak sedih, kena betul-betul sedih. Pernah satu babak sedih, saya susah nak keluarkan air mata sekali gus memberi tekanan kepada saya.

"Apabila ambil ubat, ia akan buatkan kita jadi tenang. Disebabkan itu saya masih mencari ubat yang sesuai dengan kerja saya," katanya ketika dijemput sebagai panel dalam sesi Facebook Live Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa Malaysia), hari ini.

Turut serta dalam sesi itu ialah Presiden Miasa, Anita Abu Bakar serta dua selebriti iaitu Che Puan Sarimah Ibrahim dan Karl Shafek.

Menurut Janna, dia turut berdepan kesukaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila tidak dapat keluar bekerja seperti biasa.

"Salah satu perkara yang boleh mengalihkan masalah yang saya hadapi adalah dengan keluar bekerja. Ini kerana badan dan minda saya sudah terbiasa bekerja sejak dari usia 16 tahun lagi.

"Kalau sebelum ini, saya rasa tak seteruk seperti tahun ini (yang saya alami) sebab bila rasa penat kerja, saya boleh pergi bercuti ke luar negara sebagai terapi.

"Namun, sejak PKP jadual kerja saya bertindih-tindih. Ada hari yang sepatutnya saya cuti tapi terpaksa dibuat untuk kerja yang tertangguh. Jadi ia amat menjejaskan emosi dan fikiran saya.

"Satu perkara lagi yang membuatkan saya begitu rasa diri saya sudah tidak mampu mengawal penyakit ini apabila solat saya jadi tak fokus. Ada saja gangguan atau suara-suara kecil di dalam fikiran sehingga saya tak boleh dengar apa yang saya sebut," katanya.

Dalam masa sama, Janna turut menasihatkan mana-mana individu di luar sana agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mempunyai masalah sama seperti dirinya.

Terdahulu, Janna mendedahkan dia mengalami masalah gangguan bipolar dan terpaksa berehat daripada media sosial.

Gangguan bipolar antara masalah mental yang mempunyai karakter emosi sentiasa berubah-ubah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 5:06 PM