LAGU Ali Baba Ska terhasil kerana penghormatan GSC terhadap P. Ramlee.
LAGU Ali Baba Ska terhasil kerana penghormatan GSC terhadap P. Ramlee.
Ridzuan Abdul Rahman

HASIL karya seni Allahyarham Tan Sri P Ramlee adalah antara pengaruh utama dalam penciptaan dan karakter muzik kumpulan Gerhana Ska Cinta (GSC) sejak dulu sehingga kini.

Untuk itu, mereka membuat keputusan untuk merakamkan semula lagu dari filem terkenal Ali Baba Bujang Lapok dengan acuan mereka sendiri iaitu muzik ska cara Malaysia.

GSC yang dianggotai Edy J selaku ketua dan pemain gitar, Widy (penyanyi utama), Pedd (penyanyi), Bakri (dram), Rejab (trombon), Fairuz (keyboard), Jalut (bass) dan Farin (saksofon) menjalinkan kerjasama bersama Life Records Malaysia untuk penghasilan single berjudul Ali Baba Ska.

Edy J berkata, rakaman lagu dan muzik video ini hanya mempunyai satu tujuan utama iaitu memperingati dan memberi penghormatan kepada seniman agung itu.

"Proses rakaman lagu dibuat di Bakri Music Workshop dan diterbitkan oleh saya sendiri. Manakala Mustafal Bakri bertindak sebagai jurutera rakaman serta adunan dan mastering.

"Muzik video Ali Baba Ska pula cuba untuk menghidupkan kembali jalan cerita dan watak-watak dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, tetapi dengan sentuhan yang lebih moden.

BARISAN artis dan kru yang terbabit dengan penggambaran video klip lagu berkenaan.
BARISAN artis dan kru yang terbabit dengan penggambaran video klip lagu berkenaan.

"Kami bersyukur dan berterima kasih kerana penghasilan muzik video ini mendapat kerjasama pelbagai pihak antaranya Unit Kebudayaan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, muzik video terbitan Darkwhite Creative Solutions arahan Tengku Sharmizi ini dibuat di Panggung Bandaraya DBKL dan Sputnik Rekordz, Taman Tun Dr Ismail.

"Apapun kami gembira kerana projek kami selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama ini berjaya dihasilkan seperti yang dirancang sejak tahun lalu.

"Ia mula menemui peminat sejak 30 April lalu menerusi YouTube Life Records Malaysia. Syukur kami sudah berjaya mendapat tontonan sebanyak 40,000 peminat dalam tempoh tiga hari siaran.

"Selain di YouTube, peminat juga boleh menikmati lagu kami di platform digital lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 6:21 AM