THE Island dikenali dengan EP pertama berjudul Power Up Your Mood.
THE Island dikenali dengan EP pertama berjudul Power Up Your Mood.
Ridzuan Abdul Rahman

Pada mulanya kumpulan The Island dibentuk sebagai band projek pada pertengahan 2008 di Seberang Jaya, Pulau Pinang dengan menampilkan lima anggota.

Namun, pengunduran tiga anggota atas sebab tertentu menyaksikan hanya Tamizie Jidin (penyanyi) dan Fazli Salleh (dram) yang kekal.

Bagaimanapun, tempat terbabit kini diisi oleh Latiff (gitar), Ridhwan Marr (gitar), Ody (bass) dan Shahrul (percussion).

Tamizie selaku ketua kumpulan berkata, pada mulanya mereka tiada visi dan misi khusus untuk bergerak serius dan menerbitkan karya.

"Ini kerana setiap anggota kami ada komitmen terhadap band masing-masing. Aktiviti utama kami pada awalnya hanya 'jamming' di studio dengan memainkan lagu Bob Marley, Inner Circle dan banyak lagi pemuzik yang membawakan sub genre 'roots rock reggae'.

"Apa yang menariknya dalam kalangan anggota asal The Island ialah tiada seorang pun ada pengalaman bermain muzik reggae yang tampak mudah, tetapi kompleks untuk dimainkan.

"Namun, berbekalkan minat mendalam, kami tak mudah putus asa dengan mencuba menguasai permainan dan muzik genre ini," katanya.

BABA Andy bersama EP The Island.
BABA Andy bersama EP The Island.

Tamizie lega The Island yang mulai aktif sepenuhnya pada 2013 sehingga kini, masih giat menerima tawaran jemputan persembahan di pelbagai acara dari pelbagai negeri.

"Syukur kerana dengan segala dugaan dan jerih perih sejak 2008, kami berjaya juga menghasilkan sebuah EP yang mengandungi lima lagu iaitu Kehidupan, Power Up Your Mood, Peace, Love & Harmony, Hadir dan Forever Free.

"Saya juga berterima kasih kepada rakan-rakan seangkatan seperti Andy Flop Poppy, Widy dan Edy J dari Gerhana Ska Cinta yang menyokong hasil karya kami.

TAMIZIE ketika beraksi dalam satu persembahan.
TAMIZIE ketika beraksi dalam satu persembahan.

"Begitu juga terima kasih saya kepada peminat The Island yang setia menyokong kami dari awal sehingga sekarang," katanya.

Dalam perkembangan lain, The Island berjaya menghasilkan sebuah single hari raya berjudul Berbahagialah Hari Ini.

Tamizie berkata, lagu karya sepenuhnya Fazli Salleh ini dihasilkan membabitkan semua anggota The Island.

"Muzik video ini dimuat naik di saluran YouTube kami iaitu The Island-Roots, Rock, Reggae pada 8 Mei lalu. Maklumat mengenai kami juga boleh didapati menerusi Instagram officialtheisland dan Facebook The Island-Roots, Rock, Reggae," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 6:30 AM