BERTERIMA kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama untuk pembikinan muzik video Ali Baba Ska.
BERTERIMA kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama untuk pembikinan muzik video Ali Baba Ska.
Ridzuan Abdul Rahman


HAMPIR enam bulan ditayangkan menerusi saluran YouTube Life Records Malaysia, muzik video Ali Baba Ska daripada kumpulan Gerhana Ska Cinta (GSC) kini mencatat lebih sejuta tontonan.

Berita ini tentunya menggembirakan anggota kumpulan ini iaitu Edy J selaku ketua dan pemain gitar, Widy (penyanyi utama), Pedd (penyanyi), Bakri (dram), Rejab (trombon), Fairuz (keyboard), Jalut (bass) dan Farin (saksofon).

Bagi mereka, sambutan yang diterima amat luar biasa kerana usaha merakamkan semula lagu dari filem popular Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Ali Baba Bujang Lapok dengan acuan mereka sendiri iaitu muzik ska cara Malaysia ternyata berjaya.

Widy berkata, karya P Ramlee adalah antara pengaruh utama dalam penciptaan dan karakter muzik Gerhana Ska Cinta sejak dulu sehingga kini.

"Tujuan utama rakaman lagu dan muzik video ini ialah untuk memperingati dan memberi penghormatan kepada Seniman Agung yang dikenali sehingga di luar negara itu.

"Gerhana Ska Cinta mengucapkan terima kasih kepada Life Records Malaysia atas peluang yang diberi untuk merakamkan kembali lagu Ali Baba Bujang Lapok dan mendapat sejuta tontonan.

"Ditambah dengan pelbagai komen positif buat kami lagi bersemangat nak buat yang lebih baik selepas ini. Sangat berbaloi segala penat lelah kami apabila ramai yang bagi sokongan dengan layan klip video dan mendengarnya di platform digital lain seperti Apple Music, Joox dan Spotify," katanya.

Muzik video Ali Baba Ska dihasilkan dengan menghidupkan kembali jalan cerita dan watak dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, tetapi dengan sentuhan yang lebih moden.

Penghasilan muzik video ini mendapat kerjasama pelbagai pihak antaranya Unit Kebudayaan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Muzik video terbitan Darkwhite Creative Solutions arahan Tengku Sharmizi ini dibuat di Panggung Bandaraya DBKL dan Sputnik Rekordz, Taman Tun Dr Ismail.

KUMPULAN GSC ketika penggambaran muzik video Ali Baba Ska.
KUMPULAN GSC ketika penggambaran muzik video Ali Baba Ska.

"Gerhana Ska Cinta juga berterima kasih kepada pihak DBKL atas kerjasama yang diberi merangkumi lokasi, penari, solekan dan kostum. Juga tepukan untuk pengarah dan kru muzik video iaitu Tengku Sharmizi dan krunya.

"Insya-Allah, harap-harap apabila album studio penuh kami yang bakal keluar November nanti juga akan mendapat sambutan," katanya.

Pencapaian terbaik mereka ialah menerusi lagu Sayang yang menampilkan Altimet, Salam dan Nabila Huda mencatat 529,000 tontonan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 6:21 AM