Tam Suhaimi. FOTO Instagram
Tam Suhaimi. FOTO Instagram
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pengarah dan pelakon berkaliber, Tam Suhaimi, 41, mengakui dia masih rindukan dunia lakonan, namun fokus utamanya kini memang lebih terarah kepada kerja belakang tabir sebagai penulis skrip dan pengarah.

Menurut Tam yang tampil dengan drama arahannya, Miss Match di platform WeTV, dia bagaimanapun sekali sekala berlakon juga di dalam karyanya untuk mengubat rindu itu.

"Saya sudah berlakon sejak kanak-kanak dan ramai yang masih ingat dengan drama Cili Padi yang disiar TV3 pada 1993 lalu. Malah, saya pun tak sangka, drama itu diingati penonton hingga kini.

"Cuma, sekarang kerjaya saya memang dalam bidang pengarahan. Jadi, saya lebih tumpukan untuk penghasilan kandungan drama dan telefilem untuk disiarkan stesen TV.

"Saya tahu ramai juga yang tanya kenapa tak berlakon lagi macam Bell Ngasri yang masih hangat ketika ini. Jawapannya, saya tak boleh nak buat macam Bell buat sekarang. Saya lebih selesa dengan kerja-kerja menulis skrip serta pengarahan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Tam lagi, dia juga tidak mempunyai bakat melawak seperti Bell untuk memberinya ruang muncul di dalam program-program komedi di TV. Apapun, katanya dia cukup bangga melihat pencapaian Bell.

Mengulas mengenai drama Miss Match, Tam berkata penggambaran drama itu dibuat pada 2019 lalu sebelum penularan pandemik Covid-19 melanda negara sejak tahun lalu.

"Sebab itu, dalam drama ini pelakon Kilafairy belum berhijab lagi. Namun, saya bersyukur juga apabila drama Miss Match dipilih pihak WeTV sebagai siri original untuk mereka siarkan.

"Dalam drama ini, garapannya agak menarik kerana memaparkan kisah wanita tidak berkahwin, tapi terbabit dalam pencarian jodoh orang lain. Bagi saya, situasi ini wujud dalam masyarakat.

"Malah, ketika ini wanita kalau belum bertemu jodoh pun, tetap mampu berdikari. Itu yang cuba saya ketengahkan mengenai semangat dan perjuangan wanita yang tidak tertumpu pada mengejar cinta sahaja," katanya.

Selain Kilafairy, barisan pelakon lain  yang menjadi pilihan Tam membintangi drama Miss Match ialah Bella Dally, Mimi Lana, Atiq Azman termasuk, Izara Aishah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 5:05 PM