Haeriyanto Hassan
Haeriyanto Hassan
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon, Haeriyanto Hassan, 53, bercadang meninggalkan kerjaya lakonan dan menceburi bidang pengarahan selepas ini.

Haeriyanto berkata, sejak diserang angin ahmar pada 2022, semangatnya untuk berlakon sudah tidak seperti dulu.

"Semangat saya jadi lain sikit, sebagai pelakon dah kurang. Jadi, saya cari sesuatu yang baru untuk semangat itu membara semula. Saya rasa sekarang masa terbaik untuk beralih bidang.

"Saya sedang berjinak-jinak sebagai pengarah. Peluang itu ada sebelum ini sebab ramai penerbit tawarkan jadi pengarah, cuma saya yang belum mulakan langkah.

"Lepas kena angin ahmar, lakonan agak terganggu jadi saya putuskan mulakan langkah dalam pengarahan," katanya kepada Harian Metro.

Pelakon yang baru tampil dengan drama episod Hati Tercarik Luka ini berkata, dia baru memasang niat tetapi belum memulakan karier baru ini.

"Saya tidaklah berharap penerbit dengar luahan saya, tapi saya dah buka mulut kepada beberapa penerbit yang saya rapat. Semua cakap okey dan bila saya kata sedia, mereka akan berikan tanggungjawab itu.

"Bagi saya apabila pasang niat, saya akan mulakan langkah dan usaha sendiri. Insya-Allah dulu saya antara nak dengan tidak. Sekarang memang nak. Pasti ada tawaran nanti," katanya.

Terdahulu, Haeriyanto dikejarkan ke Hospital Ampang, Selangor pada selepas mengalami serangan angin ahmar ringan yang mengakibatkan anggota badan sebelah kiri tidak boleh bergerak.

Dia menjalani proses pemulihan mulai April 2022 dan kini beransur pulih sepenuhnya.

"Alhamdulillah, boleh dikatakan saya dah 95 peratus sihat dan aktif berlakon semula serta berniaga secara 'car boot sale' setiap Ahad di Taman Melawati.

"Saya boleh berjalan cuma ada pincang sikit. Saya dah melalui proses untuk pesakit angin ahmar di mana akan cepat letih dan cepat mengantuk. Proses itu dah lepas.

"Dari segi keletihan boleh dikatakan saya kembali normal serta boleh bekerja dari pagi sampai malam. Cuma saya minta pada produksi dalam sehari 'shooting' untuk berehat dalam sejam, dua," katanya.

Dia juga perlu membuat pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan tetapi tidak perlu lagi menjalani proses fisioterapi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 2:22 PM