AYU Puteh.
AYU Puteh.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pemilik syarikat produksi Pencil Pictures & Records Sdn Bhd, Datuk Ayu Puteh menyifatkan penggunaan Android TV Box dalam kalangan rakyat Malaysia boleh merosakkan industri perfileman tanah air.

Ayu berkata, menonton kandungan dalam Android TV Box tanpa kebenaran pemilik kandungan adalah satu kesalahan.

"Pihak kerajaan perlu memantau kemasukan barangan ini (Android TV Box) ini. Janganlah semudah-mudahnya dibenarkan masuk tanpa sebarang pemantauan kerana ia mengganggu dan merosakkan industri perfileman kita.

"Semua kandungan termasuk di saluran Astro dan platform berbayar lain diciplak dan dijual tanpa kebenaran daripada pemilik kandungan. Saya harap pihak berkuasa dan kerajaan dapat melihat isu ini secara serius," katanya kepada Harian Metro.

Dalam temubual sama, Ayu turut berkongsi kegembiraannya apabila isu-isu berkaitan cetak rompak yang diperjuangkannya mula dipandang serius beberapa pihak.

"Pihak Astro sudah mula memandang serius akan isu ini lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan platform berbayar mereka seperti Astro First. Selain Astro, stesen TV lain juga sudah mula bersuara.

"Astro mungkin boleh lakukan sesuatu dan baik pulih sistem mereka kerana filem yang ditayangkan di Astro First mudah diciplak pihak tidak bertanggungjawab. Sekarang mereka sudah mula memantau beberapa tempat penjualan secara haram yang lain seperti Telegram," katanya.

Menurutnya, platform itu boleh menggunakan prosedur yang sepatutnya sekiranya ingin menjadi platform untuk menayangkan filem dan karya.

"Saya bagi contoh, Awesome TV. Mereka tahu kelemahan mereka dan masih belum kukuh, jadi mereka bekerjasama dengan Astro untuk menyiarkan kandungan mereka. Kenapa Android TV Box tak boleh buat benda sama? Kalau dibiarkan, syarikat gergasi pun boleh berdepan kerugian besar dan kemudian boleh tutup," katanya.

Ayu juga meminta supaya pihak-pihak terbabit mengetatkan lagi undang-undang untuk kesalahan cetak rompak di platform digital.

"Di WeTV iflix contohnya, video dan gambar masih boleh disalin (copy) tanpa sebarang sekatan. Saya rasa pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga perlu memainkan peranan kerana Malaysia pun bukanlah 'bodoh' sangat dalam bidang teknologi.

"Hantar orang-orang kita untuk menjalani kursus dan bagi ada kepakaran supaya mereka dapat membantu membendung perkara ini daripada terus berlaku," katanya.

Terbaru, Ayu kini sudah melengkapkan beberapa dokumen yang diperlukan dan akan meneruskan dengan saman terhadap syarikat e-dagang yang sebelum ini menjadi platform penjualan filem terbitan syarikatnya.

"Saya akan teruskan dengan saman. Kalau ada pihak yang mempertikaikan tindakan saya, saya nak tanya soalan. Apa anda akan rasa kalau anda sudah melabur berjuta ringgit, kemudian produk anda dicuri dan dijual secara haram. Jadi, sama-sama fikirkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 6:29 PM