GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Sebuah syarikat terkemuka yang menjual peralatan teknologi (IT) di Shah Alam, Selangor, menjadi syarikat pertama yang didakwa di mahkamah atas kesalahan mempromosikan perisian bagi mendapatkan siaran televisyen berbayar secara haram.

Pengarah syarikat IT itu mengaku bersalah di atas pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah, Rofiah Ahmad di sini, semalam.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dalam perjalanan untuk menjual peranti televisyen itu atau lebih dikenali sebagai 'Android Box' yang mengandungi saluran karya siaran pemilik hak cipta tanpa kebenaran pada jam 4.55 petang, 2 September lalu 2020.

"Oleh itu, syarikat yang beralamat di I-City, Persiaran Multimedia, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor itu didapati melanggar seksyen 41(1)(ha) Akta Hak Cipta 1987 kerana menjual teknologi atau alatan untuk memintas perlindungan teknologi yang disebut dalam subseksyen 36A(3), Akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan syarikat berkenaan boleh didenda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak lebih daripada RM40,000 bagi setiap perekaan yang berkenaan atau dipenjarakan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Azman berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pembekal atau penjual yang menyalahgunakan peranti Android Box dengan tujuan memintas atau mengakses kandungan yang dilindungi karya hak ciptanya.

"Orang ramai juga diingatkan supaya tidak terpedaya dengan penjualan peranti TV Android Box yang mengandungi aplikasi atau disertakan dengan pakej perkhidmatan penstriman kandungan cetak rompak.

"Pengguna juga disarankan untuk menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dan melaporkan sebarang kegiatan cetak rompak melalui talian 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau WhatsApp di talian 019-279 4317.

"Laporan berkenaan juga boleh dibuat di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau hadir sendiri di pejabat KPDNHEP berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 7:29 PM