DATUK Ayu Puteh.
DATUK Ayu Puteh.
Norhayati Nordin

 

Penerbit, Datuk Ayu Puteh mahu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bertindak lebih tegas dan cekap dalam menangani isu cetak rompak filem tempatan di platform digital.

Ayu yang juga penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD) berkata, ia berikutan kerusi Ketua Pegawai Eksekutif FINAS yang ditunjangi individu yang berpengalaman luas dalam industri perfileman iaitu Ahmad Idham.

"Jadi, tak ada sebab Ahmad Idham tidak faham betapa geram, marah dan sakit hatinya perasaan saya sebagai penerbit apabila produk seni dihasilkan dengan perbelanjaan kewangan yang besar dicetak rompak dan dijual pada harga RM1 oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Tak ada filem yang nilai harganya RM1 walaupun boleh dibuat menggunakan telefon pintar masa kini. Apatah lagi, nak beli telefon terbaik untuk proses rakaman itu pun, harganya sudah mencecah ribuan ringgit.

 "Justeru, jangan suka-suka hati jual filem saya tanpa kebenaran dan cetak rompak dengan harga RM1 di platform e-dagang terkenal. Saya tetap akan saman pihak itu demi perjuangkan hak sebagai penerbit," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ayu atau nama sebenar Normashayu Puteh, dia ada dihubungi Ahmad Idham untuk bertanya mengenai penjelasan diperolehnya selepas pertemuan dengan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, kelmarin.

"Saya sudah jelaskan semuanya kepada Ahmad Idham mengenai butiran pertemuan itu untuk dia faham. Dia cakap, FINAS juga ambil serius aduan dibuat dan tidak berdiam diri terhadap isu cetak rompak ini. FINAS akan bertindak untuk menyelesaikanya.

"Saya juga cakap kepada Ahmad Idham, 'no more' tin kosong! Saya minta tolong sangat pada FINAS dan pihak berkaitan yang lain bekerjasama membantu menangani isu cetak rompak ini," katanya.

Menurut Ayu, kepimpinan FINAS sudah bnyak kali bersilih ganti, tetapi isu cetak rompak membabitkan karya seni seperti filem hingga kini masih belum berupaya diselesaikan dengan berkesan.

Tindakan Ayu lantang bersuara demi memperjuangkan hak miliknya yang dicuri orang dengan mudah dan wajar baginya menuntut ganti rugi sebagai pemilik hak cipta asal.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Ayu bakal menyaman pihak e-dagang terkenal sebanyak RM50 juta, susulan pihak terbabit didapati menjual filem AADD terbitan syarikatnya, Pencil Pictures & Records Sdn Bhd secara haram di platform berkenaan.

Malah, filem AADD dibintangi pelakon Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha dan PU Riz itu dijual pada harga RM1 dan RM5 di platform e-dagang berkenaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 11:29 AM