AYU PUTEH
AYU PUTEH
Syafil Syazwan Jefri


 

Kuala Lumpur: Penerbit syarikat produksi, Pencil Pictures & Records Sdn Bhd, Datuk Ayu Puteh belum sedia menayangkan filem terbitan syarikatnya di panggung wayang walaupun panggung kini sudah mula dibuka.

Ayu Puteh berkata, terdapat dua faktor yang menyebabkan dia belum terpanggil untuk 'menghadap' panggung wayang. Antaranya, hutang antara pihak panggung dengan penerbit tempatan. 

"Saya ada satu filem yang belum lagi ditayangkan. Saya sendiri juga belum bersedia untuk 'menghadap' panggung wayang atas beberapa sebab. 

"Pertama, saya yakin masih belum ramai orang yang akan ke panggung wayang dalam tempoh terdekat kerana faktor keselamatan. 

"Kedua, kerana masih ada lagi isu hutang antara pemilik panggung wayang dengan penerbit yang belum lagi diselesaikan," katanya kepada Harian Metro. 

Menurut Ayu Puteh, sekiranya panggung wayang kembali dibuka, tetapi hutang masih belum dilunaskan, tidak ada gunanya. 

"Kalau buka pun tapi hutang tak bayar, tak guna juga. Jadi, saya harap pihak panggung wayang akan lebih jujur dan telus kali ini. 

"Kasihan produksi, penerbit dan pengedar filem yang sudah keluarkan sejumlah wang untuk menghasil dan mempromosikan filem. 

"Saya pun faham, mungkin pihak panggung wayang juga berdepan kerugian akibat pandemik dan nak mula bangkit semula. Namun, tolonglah jadi jujur kali ini," katanya. 

Selain itu, Ayu juga mengakui bahawa platform digital seperti Astro First serta laman penstriman yang sah lebih mudah diakses dan  datang dengan pakej harga yang lebih berpatutan. 

"Mungkin orang sekarang juga lagi selesa menonton filem di rumah, menerusi platform digital kerana harganya yang lebih berpatutan," katanya. 

Ayu adalah antara penerbit yang aktif memperjuangkan mengenai isu cetak rompak yang menjejaskan ekonomi industri seni perfileman tanah air. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 3:55 PM