DATUK Ayu Puteh kecewa filem terbitannya sering dicetak rompak.
DATUK Ayu Puteh kecewa filem terbitannya sering dicetak rompak.
Syafil Syazwan Jefri


ISU cetak rompak di negara ini bukan lagi menjadi isu baru bahkan sudah berpuluh-puluh tahun dibahaskan. Namun, sehingga hari ini, belum ada jalan penyelesaian tegas dalam menyelesaikan masalah ini.

Penerbit filem, Datuk Ayu Puteh berkata, tahun ini menjadi mimpi ngeri buatnya apabila dua filem terbitannya diciplak pihak tidak bertanggungjawab dan dijual serta diedarkan secara haram.

Bermula dengan Ada Apa Dengan Dosa yang ditayangkan beberapa bulan lalu, kini Ayu sekali lagi terpaksa berdepan situasi sama apabila filem terbaru berjudul Aku Bukan Gila pula menjadi mangsa.

Diedarkan secara terbuka di Facebook oleh individu tidak bertanggungjawab, filem itu juga turut dijual dalam bentuk pautan (link), VCD serta fail dalam pemacu pena.

"Baru saja keluar filem Aku Bukan Gila, sekarang, saya yang rasa macam nak gila," katanya kepada Rap.

Ayu juga meluahkan kekecewaannya apabila individu tidak bertanggungjawab itu kebanyakannya adalah dalam kalangan bangsanya sendiri.

"Apabila saya lihat akaun-akaun yang menjual serta mengedarkan pautan itu, kebanyakannya adalah bangsa Melayu dan 'orang-orang kita' inilah yang membuat kerja cetak rompak ini secara terang-terangan. Mereka buat kerja itu macam tak tahu takut akan dosa serta rasa bersalah!" katanya.

Menurutnya, filem Aku Bukan Gila lakonan Fasha Sandha dan Beto Kusyairy itu ditayangkan di platform iflix yang sememangnya percuma.

"Filem ini ditayangkan di iflix sebab sekarang, dalam situasi pandemik begini, kita semua sedia maklum mengenai kekangan penonton untuk ke pawagam.

"Dah tayang di platform percuma pun, masih ada lagi yang sanggup beli dan tonton secara haram? Saya sendiri tak faham apa yang bermain dalam fikiran mereka," katanya.

DATUK Ayu (empat dari kiri) bersama barisan pelakon Aku Bukan Gila.
DATUK Ayu (empat dari kiri) bersama barisan pelakon Aku Bukan Gila.

Berkali-kali berdepan situasi sama, Ayu tidak memaafkan tindakan individu yang mengambil keuntungan 'atas angin' ini.

"Saya takkan maafkan mereka yang melakukan kerja-kerja kotor ini. Nanti, merangkak cari saya di akhirat. Saya doakan mereka ini jatuh miskin dan berdepan ujian besar," katanya.

Terdahulu, pengarah filem Aku Bukan Gila, Rahila Ali juga meluahkan rasa terkilannya dengan sikap individu-individu tidak bertanggungjawab ini.

Aku Bukan Gila mengangkat kisah mengenai penyakit bipolar dan menjadi salah salah satu medium untuk menyampaikan mesej mengenai kesihatan mental kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 6:45 AM