Saifuddin Abdullah bercakap ketika hadir bagi melancarkan PRISMA secara dalam talian di Kementerian Komunikasi dan Multimedia. FOTO BERNAMA
Saifuddin Abdullah bercakap ketika hadir bagi melancarkan PRISMA secara dalam talian di Kementerian Komunikasi dan Multimedia. FOTO BERNAMA
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melancarkan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) yang disempurkana oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah, semalam. 

Finas menerusi kenyataan yang dikeluarkan berkata, Prisma dilaksanakan melalui tiga strategi utama iaitu memudah cara pembiayaan penghasilan kandungan kreatif, mengupayakan kapasiti dan kemahiran penggiat industri kreatif serta menyediakan akses pasaran bagi produk kreatif tempatan. 

"Untuk makluman, suntikan dana berjumlah RM89.2 juta ini adalah bagi menggerakkan semula ekonomi industri kreatif yang berupaya memanfaatkan semua penggiat industri kreatif tempatan," katanya. 

Pakej rangsangan itu adalah inisiatif jangka pendek bertujuan memastikan kelangsungan dan kelestarian penggiat industri kreatif negara dalam mendepani impak pandemik Covid-19.

Prisma dijangka memberi manfaat kepada seramai lebih 9,000 penggiat industri kreatif serta berupaya mewujudkan sekurang-kurangnya 40,000 peluang pekerjaan melalui 32 program merangkumi empat kategori. 

Empat kategori itu adalah filem, muzik, kandungan kreatif digital serta seni visual, persembahan dan kraf. 

Selain itu, inisiatif dan program di bawah kategori filem ialah Dana Mikro, Skim Pindaan Milestone Dana Kandungan Digital (DKD), Borneo Pitch @ Prisma DKD, Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (Pelaksana) Fasa 2, Program Creativity Never Stops dan Creative Business Revival Loan yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 5 Februari lalu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 1:32 PM