ZAKARIA (kiri) ketika berkunjung menziarahi  waris Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali dan isterinya, Hamidah Hitam di kediaman pasangan itu di Semenyih, Selangor.
ZAKARIA (kiri) ketika berkunjung menziarahi waris Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali dan isterinya, Hamidah Hitam di kediaman pasangan itu di Semenyih, Selangor.
Norhayati Nordin

Tirai tahun ini dibuka Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan berkongsi kejayaan hasil kerja yang dianggap cemerlang tahun lalu.

Ia sekali gus disifatkan selaras dengan aspirasi daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah dalam memangkin industri kandungan kreatif yang berdaya saing dan bertaraf global.

Khususnya, merangkumi aspek meningkatkan kebolehpasaran domestik, peluang pekerjaan, suntikan galakan dan insentif serta memperkasa tadbir urus dengan polisi yang baik.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, Finas berjaya mengambil tindakan proaktif dalam usaha meminimumkan impak penularan Covid-19 serta mengimbangi aktiviti ekonomi industri kreatif.

"Kami akhirnya berjaya mendapatkan kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Inisiatif ini berupaya untuk memacu semula produktiviti serta meningkatkan ekonomi industri kreatif tanah air," katanya.

Begitu juga dengan pelancaran Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (Pelaksana) pada 28 Julai tahun lalu yang bertujuan bagi memperkasa semula industri kreatif selepas terjejas.

"Salah satu inisiatif di bawah Pelaksana adalah pemberian Dana Kandungan Digital (DKD) pada 24 November tahun lalu yang berjaya memberi manfaat kepada 39 syarikat produksi membabitkan peruntukan RM13,381,000.

"DKD yang dilaksanakan ini membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM46,190,000 melalui 230 projek termasuk di Sabah dan Sarawak yang meliputi Dana Mikro, Dana Mikro Khas Pelaksana Covid-19 Pembudayaan Norma Baharu, Pemasaran, Public Service Announcement (PSA), Filem Cereka, Dokumentari dan Program TV/OTT.

"Inisiatif ini juga berupaya mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan di samping memperbanyakkan pemilikan Hak Cipta Kandungan dalam kalangan penerbit tempatan bagi penjanaan keuntungan di masa hadapan," katanya.

Tidak ketinggalan, Finas juga menawarkan Insentif Saringan Prihatin dengan kadar maksimum sebanyak RM 5,000 bagi setiap syarikat produksi yang melakukan ujian swab Covid-19 ke atas barisan artis dan pekerja produksi yang menjalankan aktiviti penggambaran ketika PKPB.

ZAKARIA rancak berbual dengan pelakon Bob Lokman ketika menziarahnya di Kelantan.
ZAKARIA rancak berbual dengan pelakon Bob Lokman ketika menziarahnya di Kelantan.

"Ia bertujuan memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja produksi serta barisan artis sentiasa terjamin di lokasi penggambaran sekali gus dapat mengekang Covid-19. Selain itu, ada juga Program Finas Prihatin bertujuan meringankan beban penggiat industri kreatif, khususnya golongan veteran yang mengalami masalah kesihatan, keuzuran dan terputus pendapatan akibat penularan pandemik.

"Finas sudah berjaya menyantuni 102 orang penerima membabitkan peruntukan sebanyak RM102,000 serta penyaluran sumbangan kebajikan melalui 15 buah persatuan perfileman sebanyak RM125,000 semasa pelaksanaan PKP. Secara keseluruhannya, inisiatif kebajikan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM227,000," katanya.

Untuk pelancaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Komuniti Seni Prihatin, ia hasil integrasi Finas bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan berjaya memberi manfaat kepada 25 penggiat industri kreatif yang memerlukan kediaman.

"Menerusi pelaksanaan Program Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) dengan tiga siri serahan pula dimanfaatkan 38 syarikat produksi membabitkan 42 filem dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3,564,634.21.

"ITFC ini adalah inisiatif KKMM melalui Finas dalam usaha membantu dan menggalakkan penerbit filem untuk terus menghasilkan filem cereka tempatan. Selain itu, Finas turut menawarkan Program Akreditasi dan Pentauliahan Dalam Industri Kandungan Kreatif bertujuan memberi pentauliahan kepada penggiat industri serta pekerja produksi terutama dalam sektor perfileman apabila tahap piawaian profesional mereka diperakui secara sah dan berstruktur.

"Dianjurkan juga bengkel pembangunan modul bagi bidang pengurusan penerbitan, lakonan, animasi, pengarahan, penulisan dan sinematografi yang selesai dilaksanakan pada Disember lalu membabitkan 284 permohonan diterima," katanya.

Turut dipilih seramai 749 peserta, bagi mengikuti penganjuran Bengkel Kemahiran YouTube dan Komuniti Sinema Finas yang dilaksana dalam tiga siri, bertujuan memberi pendedahan dalam bidang kandungan kreatif digital terutama menerusi pelantar YouTube kepada generasi muda dan belia untuk menjana pendapatan.

"Finas juga menubuhkan Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak bagi meneruskan usaha membanteras aktiviti pengedaran filem tanpa lesen yang sah. Langkah ini diambil untuk memperkasa dan memantapkan penguatkuasaan, peraturan dan syarat lesen pengedaran selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244).

"Turut diteruskan sesi libat urus bersama pemegang taruh industri dalam memperkasa serta menambah baik Akta Finas 1981 itu, yang diilhamkan menteri KKMM pada 20 Ogos, tahun lalu," katanya.

Zakaria berkata, sehingga kini sebanyak lima sesi libat urus sudah dijalankan yang membabitkan pihak penerbit, pekerja filem, pasca-produksi, barisan penaja tempatan dan pihak media sosial.

Sehubungan itu, Finas berharap semangat kejayaan dan pencapaian pada tahun lalu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan mengetepikan segala perbezaan, namun mencari titik persamaan untuk berganding bahu memerangi wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 6:28 AM