Timbalan Pengerusi Finas, Datuk Norman Abdul Halim.
Timbalan Pengerusi Finas, Datuk Norman Abdul Halim.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Seluruh ahli dan badan pengurusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Pengerusi, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Timbalan Pengerusi Finas, Datuk Norman Abdul Halim berkata, Zakaria dan Ahmad Idham berjaya menerajui Finas sebagai badan yang bertanggungjawab memajukan industri kreatif mengikut Akta Finas 1981 (Akta 244).

"Sepanjang kepimpinan Zakaria dan Ahmad Idham, Finas berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi antaranya pelancaran Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (Pelaksana) dan Dana Kandungan Digital (DKD)," katanya.

Antara inisiatif lain termasuk Program Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC), Program Akreditasi dan Pentauliahan Dalam Industri Kandungan Kreatif, Bengkel Kemahiran YouTube dan Komuniti Sinema serta Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak.

Norman berkata, Finas juga tidak meminggirkan hal kebajikan warga penggiat industri kreatif tempatan dengan melaksanakan Program Finas Prihatin, pelancaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Komuniti Seni Prihatin, dan Insentif Saringan Prihatin.

"Ia memberi manfaat kepada penggiat industri kreatif tempatan dalam berdepan cabaran penularan pandemik Covid-19. Bagi mengimbangi aktiviti ekonomi industri kreatif dan meminimumkan impak penularan, Finas turut ambil langkah proaktif.

"Finas menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengambil langkah proaktif mendapatkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti penggambaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Sektor industri kreatif terus diberi perhatian apabila KKMM melancarkan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma).

Ia bertujuan memastikan kelangsungan dan kelestarian penggiat seni dalam situasi pandemik ini. Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 9,000 penggiat industri kreatif.

Selain itu, berupaya mewujudkan sekurang-kurangnya 40,000 peluang pekerjaan di bawah peruntukan sebanyak RM89.2 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 4:53 PM