HOTEL Del Luna menggandingkan Yeo Jin-gu dan Lee Ji-eun.
HOTEL Del Luna menggandingkan Yeo Jin-gu dan Lee Ji-eun.
Norhayati Nordin


BAGI penggemar drama Korea Selatan, pastinya tidak asing lagi dengan siri popular Hotel Del Luna yang dibintangi dua figura dikenali ramai, Yeo Jin-gu dan Lee Ji-eun atau IU.

Pembabitan kedua-duanya dalam drama yang memamparkan kisah percintaan menarik dengan pelbagai kisah misteri di hotel itu untuk dirungkaikan berjaya menarik perhatian penonton.

Menariknya lagi untuk Yeo Jin-gu, 23, dan Lee Ji-eun, 27, ini, mereka akhirnya melakar kecemerlangan tersendiri dalam kerjaya seni masing-masing apabila semakin diminati ramai.

Bagi Yeo Jin-gu yang memulakan kerjaya lakonan ketika berusia lapan tahun pada 2005 menerusi filem berjudul Sad Movie, jiwanya sudah sebati beraksi di hadapan kamera untuk merealisasikan setiap watak.

Bagaimanapun, lakonannya dalam drama Hotel De Luna diakui sangat berjaya bagi terus mengukuhkan nama Yeo Jin-gu di persada industri hiburan Korea Selatan.

Terbaharu, jejaka kacak ini hadir pada sesi pembacaan skrip untuk drama berjudul Monster bergenre 'thriller' psikologi yang akan dibintanginya.

Drama penyiasatan untuk merungkai misteri di sebuah kampung ini menggandingkan Yeo Jin-gu dengan pelakon berpengalaman, Shin Ha Kyun sebagai watak utama.

Tekad memberi yang terbaik untuk wataknya, Yeo Jin-gu akur dia perlu sedia bermain dengan pelbagai cabaran emosi untuk wataknya direalisasikan sebaik mungkin.

Difahamkan Yeo Jin-gu sangat teruja dapat berganding dengan Shin Ha Kyun, 46, yang akan melakonkan watak Lee Dong Shik.

Menurut Yeo Jin-gu, dia akan memainkan peranan sebagai Han Joo Won, seorang detektif elit yang bertugas di balai polis Manyang. Seorang yang memiliki sikap tegas dan komited pada tugasnya. "Watak ini agak menarik dan cukup mencabar. Ia akan memerlukan saya bermain dengan emosi dan semoga semuanya lancar. Saya akan cuba memberi yang terbaik untuk watak detektif ini.

LEE Ji-eun atau IU suka buat kerja amal.
LEE Ji-eun atau IU suka buat kerja amal.

"Dapat berganding dengan pelakon berpengalaman seperti Shin Ha Kyun pasti akan membantu saya menimba banyak ilmu dalam lakonan. Saya akan berusaha gigih demi kejayaan drama ini kerana teruja dan gembira," katanya.

Selain Yeo Jin-gu dan Shin Ha Kyun, drama Monster turut dibintangi Choi Dae Hoon, Choi Sung Eun, Chun Ho Jin, Choi Jin Ho, Gil Hae Yeon dan ramai lagi.

Diarahkan Shim Na Yeon dan skrip ditulis Kim Soo Jin, drama Monster ini berkisar pada pemburuan jejak pembunuh bersiri. Ia dijangka menemui penonton di TV pada Februari 2021.

IU utama keluarga, kerja amal

Di sebalik populariti dan kejayaan yang kini diraih Lee Ji-eun atau lebih dikenali sebagai IU, wanita ini memiliki latar belakang keluarga sederhana. Malah, ibu bapanya pernah bergelut dengan hutang.

Sebagai anak yang berjasa, IU tidak melupakan kesengsaraan dialami orang tuanya apabila dengan jumlah pendapatan daripada kerjaya seni dimiliki, dia dapat melunaskan segala hutang itu.

Pada 2010, IU berjaya membebaskan ibu bapanya daripada kemelut hutang dihadapi.

Bahkan sekitar 2018 pula, IU dilaporkan membeli sebuah bangunan di Gwacheon serta sebuah rumah dua tingkat di Yangpyeong.

Menurut ejennya, Loen Entertainment atau kini dikenali, Kakao M, IU membeli rumah di Yangpyeong itu untuk bersantai bersama keluarganya pada hujung minggu.

YEO Jin-gu bakal membintangi drama baharu berjudul Monster.
YEO Jin-gu bakal membintangi drama baharu berjudul Monster.

Prihatin juga dengan nasib yang menimpa masyarakat berikutan pandemik Covid-19, IU menjadi antara sebilangan selebriti Korea Selatan yang tampil membuat kerja amal dengan menghulur sumbangan.

IU pernah membeli 4,600 baju sejuk yang disumbangkan kepada pasukan jururawat di hospital. Selain itu, dia juga menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga berpendapatan rendah di sekitar Gwacheon.

Sikap luhur hati IU yang penuh keiklasan itu sangat dipuji dan menjadi perhatian. Termasuk, IU juga dilaporkan sanggup membiayai kemudahan kebajikan di Yangpyeong yang terjejas akibat Covid-19. "Saya gembira dengan apa yang dilakukan ini. Sejak kecil, saya sudah menyimpan impian untuk terbabit dalam perniagaan hiburan sehingga berjaya," katanya.

IU yang mula aktif dalam kerjaya seni bermula 2008 sangat berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam kariernya.

Pada 2010, IU muncul dengan lagu solo berjudul Good Day yang menambat hati peminatnya.

Ketika pembabitan awal IU untuk memahat nama dalam kerjaya seni sekitar 2006, dia pernah gagal 20 uji bakat disertai dalam tempoh dua tahun sebelum akhirnya bernaung dengan agensinya sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 6:00 AM