PENGURUS Besar Sony Music, Aziana Ali menyerahkan Anugerah 4x Platinum kepada Ben hasil penjualan digital single Hikayat Benladin. FOTO Saifullizan Tamad
PENGURUS Besar Sony Music, Aziana Ali menyerahkan Anugerah 4x Platinum kepada Ben hasil penjualan digital single Hikayat Benladin. FOTO Saifullizan Tamad
Oleh Georgie Joseph


SUDAH menjadi impian ramai penyanyi tempatan untuk bekerjasama dengan komposer tersohor, Malique.

Namun, tidak ramai berpeluang mendekati komposer terbabit lantaran beliau sendiri cerewet dengan siapa dia bekerja.

Ben Ladin, 19, bertuah apabila mendapat kepercayaan daripada Malique untuk menyanyikan karyanya.

Ternyata bakat penyanyi ini meyakinkan Malique untuk terus menyanyikan karya ciptaan komposer itu.

Tampil dengan single terbaru berjudul Rampung ciptaan Malique, Luca Sickta, dan Siqma, Ben mengakui semakin banyak ilmu ditimba daripada komposer terbabit. Menurutnya, ia satu kepuasan yang sangat bermakna terutama dalam karier muzik.

“Secara peribadi, saya meminati dan mengagumi hasil karya abang Malique sejak awal dia mencipta nama bersama Too Phat. Kebanyakan lirik tulisannya berat dan mendalam.

“Sebagai penyanyi, situasi ini menuntut saya supaya melakukan kajian dan berusaha memahami keseluruhan pengisian lagu. Pengalaman bersamanya di studio banyak membantu memahami maksud yang tersurat itu.

“Namun, masih banyak yang saya perlu belajar dan tak pernah jemu mendalami ilmu penulisan lirik daripada abang Malique. Saya sangat bangga belajar banyak ilmu daripadanya,” katanya.

Kali terakhir muncul dengan single Hikayat Ben Ladin pada 2018, penyanyi ini mengakui tidak kisah menunggu lama demi menghasilkan karya berkualiti. Menurutnya, banyak proses yang perlu dilalui demi menyempurnakan Rampung.

“Sejujurnya, saya puas dengan hasil akhir lagu ini meskipun lama menunggu untuk melancarkannya. Bagi saya, ketelitian dan kesempurnaan itu adalah sangat penting demi menjaga kualiti lagu saya.

“Lagu ini pun mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan disebabkan banyak hal perlu diperhalusi. Terutama daripada segi perubahan kod vokal suara saya dan perlu dilaraskan mengikut kunci suara yang sesuai,” katanya.

Tidak dinafikan Rampung memberikan kepuasan yang dicarinya dalam berkarya. Namun bagi Ben, kejayaan sebenar hanya dirasai apabila peminat memberikan maklum balas positif terhadap hasil kerjanya.

“Alhamdulillah, saya mendapat kepuasan tersendiri menerusi lagu ini. Tetapi, jika diukur secara keseluruhan, saya baru mencapai 80 peratus. Saya tahu, ramai yang melihat saya mempunyai kelebihan apabila dapat bekerja dengan komposer hebat seperti Malique.

BEN puas dengan lagu barunya, Rampung. FOTO Saifullizan Tamad
BEN puas dengan lagu barunya, Rampung. FOTO Saifullizan Tamad

“Jika ditanya, sukar saya jelaskan apa kelebihan yang saya miliki hingga berpeluang merasai semua keistimewaan ini. Selalu saya ingatkan diri, selagi kita menjaga sikap ketika bekerja, merendah diri, tidak berlagak dan terbuka mendengar nasihat.

“Dengan niat yang betul serta sentiasa menunjukkan kerjasama yang profesional, pasti orang sekeliling selesa untuk bekerjasama dengan kita,” katanya.

Semakin bersemangat untuk meletakkan namanya dalam barisan penyanyi hip hop terbaik tempatan, Ben mahu kekal dengan genre hip hop tradisional. Baginya, elemen itu benar-benar menjadi hala tuju sempurna dalam muziknya.

“Saya lihat hip hop tradisional ini memiliki kekayaannya tersendiri selain mahu terus menyuntik elemen budaya warisan dalam lagu. Semestinya saya akan terus setia dengan genre ini untuk karya akan datang,” katanya.

Terdahulu, single Hikayat BenLadin membuahkan hasil membanggakan dan mendapat tempat di hati peminat sehingga menjadi fenomena. Dengan jumlah tontonan sebanyak 24 juta di YouTube, lagu itu turut menerima menerima Anugerah 4x Platinum dari hasil penjualan digital.

Dengan pengalaman yang ada, Ben mengakui, dia semakin yakin untuk mengorak langkah, terutama dalam seni penulisan lagu dan lirik. Bagaimanapun, Ben tidak mahu terburu-buru dan akan sentiasa memastikan kehadirannya dalam industri muzik bukan sekadar persinggahan.

Rampung boleh dimuat turun di iTunes dan stream menerusi semua portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Spotify, Deezer, JOOX Music dan KKBox.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 6:50 AM