BEN Ladin. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
BEN Ladin. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Sudirman Mohd Tahir

Kemunculan penyanyi remaja Ben Ladin menerusi lagu Hikayat Ben Ladin dianggap berbaloi selepas lima tahun tidak aktif dalam bidang nyanyian.

Lagu ciptaan komposer dan rapper terkenal Malique bersama Dedeq itu bukan saja tular malah berjaya menaikkan semula nama Ben, 17, atau nama sebenarnya Muhammad Benladin Munshi Shaihan.

Lebih hebat lagi apabila video muzik lirik lagu itu sudah meraih lebih 11 juta tontonan sejak dimuat naik Julai lalu di laman YouTube.

Menurut Ben, sambutan diberikan dalam kalangan peminat dan pencinta muzik hip hop khususnya menambahkan keyakinan bekas peserta program Idola Kecil musim kelima (IK 5) itu untuk terus memperjuangkan irama berkenaan.

“Sejujurnya, saya tidak menjangka lagu ini mendapat sambutan sangat baik selepas ia dilancarkan. Satu sebab kenapa ia boleh hit adalah lagu ini mendapat sentuhan Abang Malique. Dalam industri, ramai yang rindukan hasil kerja Malique terutama penggemar hip hop.

“Apabila syarikat rakaman Sony Music memaklumkan saya bakal bekerjasama dengan Abang Malique, memang terkejut dan pada masa sama teruja. Apatah lagi, sebelum ini saya tidak pernah berjumpa beliau.

“Ketika proses rakaman, diakui saya gemuruh sebab tidak menjangka dapat menyanyikan lagu ciptaannya. Banyak ilmu dikongsikan. Pendek kata, ini penghargaan buat saya kerana dapat bekerja dengannya,” katanya.

Ben berkata, dia juga bertuah kerana menjadi antara penyanyi rap yang dapat mengalunkan karya ciptaan bekas anggota kumpulan Too Phat itu.

Malah, Ben berterima kasih kepada Malique kerana banyak memberikan pesanan dan nasihat berguna untuk diamalkan dalam kerjaya.

“Awal pertemuan, dia bertanya adakah saya betul-betul minat muzik hip hop. Kalau ya, dia sarankan saya berlatih setiap hari tulis lirik. Katanya, nak jadi rapper yang bagus kena pandai tulis lirik. Sejak itu, saya berlatih tulis lirik hingga sekarang.

“Pada masa sama, dia turut tekankan soal sebutan dan penyampaian rap supaya pendengar boleh faham apa yang disampaikan. Sebagai penyanyi baru dalam genre ini, ia ilmu yang sangat berharga,” katanya.

Ben yang sebelum ini muncul dalam lagu Permata nyanyian Datin Alyah belum merancang menghasilkan single kedua.

“Perkara ini belum dibincangkan. Kalau ada, saya mahu ia lebih bagus daripada lagu ini. Malah, saya nak bekerjasama dengan Abang Malique lagi,” katanya.

Cuba semua bidang

Selain menyanyi, Ben juga berbakat dalam bidang lakonan dan pengacaraan. Malah, sepanjang lima tahun kebelakangan ini ramai beranggapan Ben sudah berhenti menyanyi.

“Selepas habis program IK 5, saya dilamar Datin Alyah untuk rap dalam lagu Permata. Selepas itu, saya dapat banyak tawaran berlakon dan mengacara. Ketika itu, perancangan nak kembali menyanyi ada, cuma jadual padat.

“Apabila tahun ini saya nak fokus menyanyi, syarikat rakaman mencari lagu untuk saya. Difahamkan, Abang Malique ambil masa sebulan untuk buat kajian mengenai saya sebelum menghasilkan lagu ini.

“Saya faham sebagai komposer berpengalaman dan ingin menjaga kualiti lagu, dia tidak boleh main buat dan bagi saja. Dia juga ada minta saya tulis lirik untuk lagu ini tetapi mungkin tidak sesuai jadi dia olah semula,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya seni lain, Ben berkata dia tidak akan berhenti daripada bidang lakonan dan pengacaraan.

“Kalau boleh saya nak buat semua kerana sudah sebati dalam diri. Cuma, memandangkan lagu ini masih dalam tempoh promosi, saya perlu fokus.

“Kalau ada tawaran berlakon dan mengacara, saya akan cuba susun sebaik-baiknya. Sayang kalau saya tinggalkan dua bidang ini. Lagipun, ini punca pendapatan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 9:23 AM