MUNCUL dengan single terbaharu Memoir Cinta ciptaan Sharon Paul.
MUNCUL dengan single terbaharu Memoir Cinta ciptaan Sharon Paul.
Najiy Jefri


MELIHAT pembabitan penyanyi Asmidar dalam lapangan kerjaya seni nyanyian mungkin tidak seindah dan semudah penyanyi lain yang pantas membina nama dengan satu single lagu.

Bagaimanapun, Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad tidak pernah putus harapan untuk terus berjuang menempatkan diri dalam industri seni.

"Pelbagai perasaan pernah saya lalui dalam menghadapi jatuh bangun sebagai anak seni. Namun saya tetap bersyukur, walaupun menyedari langkah saya dalam industri muzik bergerak pada fasa yang agak perlahan.

"Saya anggap belum rezeki dan saya tidak boleh berhenti mahupun cepat berputus asa. Saya akan terus berusaha keras walau betapa payah dan perit kerana itu adalah matlamat saya sebaik berada di dalam bidang ini.

"Saya tidak mahu ada yang membandingkan kerjaya saya dengan kejayaan artis lain. Tiada istilah cemburu pun, sebaliknya saya gembira melihat kejayaan mereka yang lebih muda. Melihat kejayaan mereka menjadi inspirasi untuk saya dalam terus berkarya, malah mereka juga sangat baik dengan saya," katanya.

ASMIDAR ketika  membuat persembahan di Konsert Visit Malaysia 2020 di Panggung Sari, Istana Budaya, Januari lalu.
ASMIDAR ketika membuat persembahan di Konsert Visit Malaysia 2020 di Panggung Sari, Istana Budaya, Januari lalu.

Tambah Asmidar, antara sebab utama dia masih terus melangkah dan tidak berputus asa kerana melihat wajah kedua-dua ibu bapanya selain perlu bangkit mengejar impian.

Biarpun percubaan demi percubaan dibawakan, namun Asmidar tetap positif dan tidak ambil pusing sama ada lagunya diterima atau tidak, dia akan tetap menghasilkan single setiap tahun.

"Saya akan terus menghasilkan single setiap tahun kerana saya masih belum berputus asa untuk mencuba nasib dalam bidang yang amat saya cintai ini.

"Biarpun ada di antara saya kurang mendapat sambutan tetapi saya anggap sebagai lumrah. Apa yang terjadi sekali pun, saya akan tetap terus berkarya demi meneruskan minat saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Asmidar kini muncul dengan single terbaharu ciptaan Sharon Paul berjudul Memoir Cinta yang liriknya ditulis oleh Intan Norul.

Menurut Asmidar lagi, pembikinan single berkenaan lebih teratur kerana Sharon Paul mempunyai pasukan pegawai perhubungan awamnya.

"Alhamdulillah dengan adanya unit perhubungan awam itu, mereka membantu menyusun jadual saya untuk tujuan promosi yang bersesuaian.

"Kami mencari peluang untuk menjadikan lagu ini sebagai runut bunyi utama untuk drama. Saya berharap semoga ada syarikat produksi yang akan membuka mata dan memberi peluang untuk lagu itu diketengahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 6:21 AM