PERSEMBAHAN Gema Gangsa dijangka menghiburkan.
PERSEMBAHAN Gema Gangsa dijangka menghiburkan.
Norhayati Nordin

Sesuai dengan nama gahnya, Istana Budaya ternyata panggung berprestij untuk persembahan seni sudah dihiasi semula dengan penganjuran beberapa program hiburan mulai 30 Oktober lalu.

Penularan Covid-19 di Malaysia pada awal tahun lalu hingga kini ternyata membawa kesan besar kepada perjalanan aktiviti seni di Istana Budaya yang harus diberhentikan dan sekali gus gemerlapannya menjadi suram.

Pun begitu, dengan kelonggaran menonton persembahan langsung diberikan kerajaan baru-baru ini, Istana Budaya nampaknya 'bersinar' semula sebelum tirai 2021 berakhir untuk mengubat rindu masyarakat menonton hiburan di pentas.

Justeru, malam ini dan esok, Panggung Sari, Istana Budaya mementaskan Gema Gangsa yang mengetengahkan alunan muzik tradisional gamelan Melayu yang mempunyai identiti tersendiri seperti skala nada, teknik memainkan alat muzik, struktur lagu serta ciri-ciri khas lainnya.

Timbalan Ketua Pengarah Istana Budaya, Zaifri Husin berkata, walaupun gamelan Melayu yang wujud di Malaysia ini dipercayai warisan kesenian daripada Kesultanan Riau-Lingga, Pahang dan Terengganu, ia tetap berbeza dengan gamelan Indonesia dari Jawa, Bali dan Sunda.

"Pada zaman dulu, persembahan gamelan lazimnya dimainkan di majlis-majlis diraja. Menerusi set gamelan diraja yang ditemui pada 1966 di Istana Kolam, Terengganu, sepasang gamelan Melayu itu terdiri daripada tujuh alat muzik asas," katanya.

Antara peralatan muzik gamelan Melayu itu ialah keromong, juga digelar bonang (set 10 gong kecil yang dibaringkan), gambang (sebuah zilofon kayu), saron kecil atau digelar saron barung, saron besar atau saron demun, kenong (set tiga gong besar yang dibaringkan) dan sepasang gong besar dan gong kecil berserta gendang.

"Bagi persembahan Gema Gangsa ini akan membabitkan pemuzik dari Asuhan Seni di bawah kelolaan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) yang setakat ini sudah meraih beberapa pengiktirafan seni.

"Perlu seiring dengan cita rasa penonton masa kini, persembahan Gema Gangsa terbahagi kepada tiga segmen iaitu tradisional (muzik istana), Kreasi (muzik ciptaan baharu) dan 'universal' yang menggabungkan muzik gamelan dengan genre lagu moden seperti balada, jazz, pop, rock dan hip hop," katanya.

Menurut Zaifri, beberapa penyanyi terbabit untuk persembahan Gema Gangsa seperti Ella, Naqiu termasuk dua tokoh gamelan, Wan Salmah Wan Sulaiman dan Hamzah Abd Hamid serta bakat muda dari Asuhan Seni, Amirah Murshidah Nor Azman.

NAQIU antara penyanyi yang terbabit persembahan Gema Gangsa.
NAQIU antara penyanyi yang terbabit persembahan Gema Gangsa.

"Saya yakin penonton terhibur dengan persembahan Gema Gangsa ini terutama peluang menyaksikan Ella dan Naqiu menyanyikan lagu-lagu popular dengan diiringi muzik gamelan.

"Istana Budaya sentiasa berusaha memartabatkan seni warisan negara sama ada dalam pementasan teater mahu pun persembahan muzik yang diwarnai dengan kepelbagaian genre lagu seiring dengan kehendak citarasa pendengar dan penonton tempatan," katanya.

Persembahan Gema Gangsa bermula jam 8.30 malam ini dengan tiket berharga RM78, RM88, RM98 dan RM108.

Penonton yang mahu menyaksikan persembahan Gema Gangsa juga harus memenuhi syarat sudah menerima dua dos vaksin lengkap Covid-19 serta mematuhi protokol kesihatan diterapkan menerusi ketetapan prosedur operasi standard (SOP) dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 6:20 AM