ADELE
ADELE
Ardini Sophia Sina

LAIN orang lain cara untuk mencari ketenangan diri selepas merasai pengalaman putus cinta.

Mungkin ada yang pergi bercuti atau kerap keluar bersama teman rapat untuk melupakan kekecewaan yang bersarang di hati.

Namun, berbeza bagi Adele apabila menggunakan kesedihan itu untuk menghasilkan lagu Chasing Pavements, Rolling in the Deep dan Turning Tables.

Ketiga-tiga lagu yang dimuatkan dalam album 21 itu mendapat sambutan baik.

Bagaimanapun, Adele menegaskan selepas ini dia tidak akan menggunakan emosi serupa untuk menghasilkan karya seterusnya.

“Apa yang saya rasa ketika menghasilkan album 21 tidak berbaloi untuk dilalui sekali lagi.

“Ketika itu saya sangat sedih dan rasa kesunyian.

“Walaupun bukan lagi teman wanita atau isteri kepada sesiapa, saya tidak mahu berada dalam situasi seperti dulu lagi.

“Saya ingin menjalani kehidupan yang lebih tenang dan bergembira dengan semua perkara,” katanya.

Terdahulu, Adele menjalin hubungan cinta dengan Simon Konecki pada 2011 dan melahirkan Angelo yang kini berusia tujuh tahun pada 2012.

Adele kemudian mengumumkan sudah berkahwin dengan Konecki pada 2017 tetapi berpisah April lalu.

Peminat mengharapkan rumah tangga Adele berkekalan namun tiada siapa dapat melawan takdir.

Selepas tujuh bulan mengumumkan perkara itu, penyanyi kesayangan ramai itu menjalani kehidupan dengan baik.

“Sejak bergelar ibu saya semakin jarang meluangkan masa dengan rakan selebriti.

“Apapun, saya sangat menghargai layanan baik mereka setiap kali menghadiri majlis yang dianjurkan.

“Kebelakangan ini, fokus saya hanya kepada anak. Saya ingin habiskan banyak masa dengannya.

“Walaupun bergelar selebriti saya juga manusia biasa yang menjalani hidup sama seperti orang lain,” katanya.

Masih mengekalkan hubungan baik dengan Konecki, mereka sepakat untuk tidak bermasam muka demi kebaikan Angelo.

“Anak saya memerlukan kasih sayang bapanya. Dia tidak patut diheret ke dalam masalah orang dewasa.

“Oleh itu, kami akan beri keutaman kepadanya.

“Saya berpendapat anak tidak sepatutnya menjadi mangsa perpisahan orang tua.

“Mereka masih kecil dan memerlukan kasih sayang yang cukup.

“Walaupun saya dan bekas suami sudah berpisah, sebagai ibu saya sentiasa mendoakan kebahagiaan Angelo.

“Biarlah dia bahagia jika berkahwin nanti dan ikatan itu akan berkekalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 6:00 AM