ADELE
ADELE
Susunan Georgie Joseph


Sejak tersasul menyebut pasangannya sebagai ‘suami’ di Anugerah Grammy, baru-baru ini, ramai yang tertanya-tanya adakah Adele dan Simon Konecki sudah berkahwin secara rasmi atau belum?

Akhirnya, penyanyi berusia 28 tahun ini mengesahkan Simon, 42, kini adalah suaminya ketika mengadakan konsert di Brisbane, Australia.

Adele menyifatkan perasaan cinta terhadap suaminya itu sesuatu yang sangat indah selepas pernah dikecewakan tidak lama dulu.

Perkara itu dikongsinya ketika bercerita mengenai inspirasi di sebalik lagu popularnya Someone Like You.

“Saya cuba mengingati bagaimana perasaan pada awal percintaan yang menjadi sumber ilham kepada lagu itu. Biarpun perpisahan adalah sesuatu yang sangat pahit untuk ditelan, namun perasaan cinta mengatasi segala-galanya.

“Perasaan apabila kita jatuh cinta kali pertama tidak dinafikan adalah perasaan paling indah di dunia. Saya benar-benar ketagih dengan perasaan itu,” katanya.

Menurutnya, dia tidak lagi mahu memikirkan perasaan itu kerana hakikatnya dia kini sudah menjadi isteri orang.

“Saya perlu membuang perasaan lama itu kerana kini saya sudah berkahwin. Saya sudah temui insan yang tepat untuk saya,” katanya.

Terdahulu, penyanyi lagu Hello itu memberi bayangan dia sudah sah menjadi isteri Simon ketika menerima trofi di Anugerah Grammy untuk kategori Album Terbaik menerusi album 25.

Selepas berucap panjang memberikan kredit kepada rakan penyanyi, Beyonce, dia tersasul dan menyebut sesuatu yang sangat mengejutkan ramai.

“Grammy, saya sangat menghargainya, saya cintakan anda, pengurus, suami dan anak saya. Semua ini saya lakukan kerana anda,” katanya.

Bagaimanapun, selepas itu Adele membetulkan semula kenyataannya dan merujuk Simon sebagai pasangan saja ketika menjawab persoalan daripada media di belakang pentas.

Pasangan itu yang dikurniakan anak lelaki, Angelo, 4, menjadi perbualan hangat bulan lalu apabila Adele dilihat memakai sebentuk cincin pada jari manis sebelah kirinya.

Bagaimanapun, jurucakapnya tidak mahu mengeluarkan apa-apa komen ketika itu.

Mereka bertemu buat pertama kali pada 2011 namun merahsiakan hubungan sehingga Adele akhirnya mengumumkan dia hamil pada 2012.

“Sebab utama hubungan itu berhasil adalah disebabkan mereka berdua sangat sehaluan. Masing-masing menjadikan anak mereka sebagai fokus utama dan Adele sangat bahagia menjadi ibu,” kata sumber mengenai pasangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 10:56 AM