ADELE tampil berbeza dan kelihatan lebih jelita.
ADELE tampil berbeza dan kelihatan lebih jelita.
Najiy Jefri


PENYANYI Adele mendokumenkan album berjudul 30 yang bertemakan kehancuran rumah tangga.

Sinonim membawakan lagu patah hati sejak mula aktif dalam industri muzik, lagu nyanyian Adele pasti ditunggu-tunggu dan meraih sambutan luar biasa.

Terbaharu, Adele tampil dengan single berjudul Easy On Me yang meraih lagu paling tinggi jumlah penstriman menerusi Spotify dalam tempoh sehari.

Adele berkata, album baharunya dirakam dengan hasrat membantu anaknya, Angelo Adkins yang berusia sembilan tahun memahami mengapa dia dan suaminya, Simon Konecki memutuskan untuk bercerai.

"Saya ingin menjelaskan kepadanya apabila dia berusia 20 atau 30 tahun nanti, siapa saya dan mengapa saya perlu mengejar kebahagiaan sendiri.

"Saya tahu dia tidak selesa dan itulah yang melukakan saya. Saya tidak tahu adakah luka itu akan sembuh," katanya.

Angka 30 membawa simbol usianya ketika mengahwini Konecki, sebelum bercerai tiga tahun kemudian.

"Seluruh hidup saya hancur dan (kehancuran) datang tanpa amaran," katanya.

Ditanya mengapa dia memilih untuk menoktahkan hubungan rumah tangganya, dia menolak untuk bercerita dan menyifatkan perkara itu sesuatu yang 'memalukan'.

"Saya tahu, saya kelihatan tersangatlah berbeza daripada kali terakhir anda melihat saya. Tapi sebenarnya, disebabkan permasalahan Covid-19, saya terpaksa kurangkan melancong dan saya hanya boleh bawa separuh daripada diri dan inilah separuh yang saya pilih," katanya.

Tampil berbeza dan kelihatan lebih jelita, Adele mengakui dia kerap melakukan senaman termasuk angkat berat.

"Saya buat latihan angkat berat pada waktu pagi. Kemudian saya pergi mendaki atau bertinju pada waktu petang. Sebelah malam, saya buat senanam kardio," katanya yang menjalani latihan senaman di gimnasium Heart & Hustle di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Menurut Adele, dia juga menafikan perubahan fizikalnya disebabkan diet yang melampau seperti dakwaan sesetengah pihak.

"Tiada 'intermittent fasting' (diet puasa). Tiada langsung. Saya boleh makan banyak seperti biasa disebabkan saya bersenam," katanya.

Adele yang berjaya menurunkan berat badan lebih 45 kilogram (kg) berkata, dia menjalani gaya hidup sihat bukan disebabkan ingin turun berat sebaliknya ada alasan tersendiri.

"Saya berdepan masalah keresahan (anxiety). Bersenam buat saya rasa lebih baik. Tak pernah terfikir pasal turun berat badan, tetapi nak jadi lagi kuat dan meluangkan lebih banyak masa tanpa telefon. Saya jadi ketagih dengannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 6:35 AM