MAWI belajar arah drama, telefilem, tulis skrip ketika menyepi satu ketika dahulu.
MAWI belajar arah drama, telefilem, tulis skrip ketika menyepi satu ketika dahulu.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SUATU ketika dulu, nama Mawi, 38, menjadi fenomena sebaik diumumkan juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3).

Meraih puncak populariti antara 2005 hingga 2007, Mawi mengakui rezekinya ketika itu melimpah ruah apabila menerima pelbagai undangan nyanyian dan tawaran lakonan.

Mencetuskan fenomena Tsumawi, anak kelahiran FELDA Taib Andak ini boleh berbangga apabila mengecapi pelbagai anugerah termasuk Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2005 dan 2006.

Populariti yang diharapkan bagaimanapun tidak bertahan lama menyebabkan Mawi menyepi seketika.

Menurut Mawi, ia cabaran dihadapi anak seni yang bergelut naik dan turun dalam industri hiburan tanah air.

“Mengejar populariti itu mudah, tetapi mempertahankannya sukar. Saya mengakui pernah diam antara empat hingga lima tahun kerana tidak mengeluarkan lagu baharu,” katanya.

Dalam tempoh yang sukar itu, Mawi tidak menghentikan aktiviti seni sebaliknya mempelajari selok-belok di belakang tabir.

“Dalam kesempatan yang ada saya belajar mengarah drama dan telefilem serta menulis skrip,” katanya kepada RAP.

Mawi turut menasihatkan artis baharu supaya tabah menghadapi rinta­ngan jika mahu kekal dalam bidang berkenaan.

“Artis baharu perlu bijak mencari peluang dan jangan hanyut dengan populariti. Saya pernah mendepani naik dan turun dalam industri dan populariti tidak akan kekal selama-lamanya,” katanya.

Mawi turut menyarankan artis baharu mencari kelainan dengan melebarkan bakat yang dimiliki untuk manfaat orang lain.

“Bakat adalah anugerah Allah dan jika ada peluang manfaatkanlah. Apa yang penting pastikan bakat itu berkat dan insya-Allah rezeki akan berpanjangan,” katanya.

Mawi yang pernah memenangi Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 2007 menggesa artis baharu untuk menonjolkan semua bakat dan jangan bergantung harap pada nyanyian semata-mata.

Dalam perkembangan lain, Mawi menadah kesyukuran apabila impiannya bergelar penyampai radio menjadi kenyataan sebaik dipelawa stesen radio Zayan pada 2017.

“Tujuan saya menyertai AF3 adalah untuk menjadi penyampai radio, bukan penyanyi. Bagaimanapun, ketika itu (2005) saya menerima tawaran nyanyian dan kini alhamdulillah, impian termakbul,” katanya.

Menurut Mawi, hala tuju stesen radio berkenaan itu menepati kehendak dirinya yang terarah kepada gaya hidup Muslim moden.

“Biarpun berkhidmat sebagai penyampai radio, saya masih meneruskan nyanyian dan insya-Allah bakal menghasilkan filem kedua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 5:15 AM