Mawi.
Mawi.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : "Tidak semua artis hidup mewah dan bernasib baik seperti tanggapan orang luar. Realitinya, masih ramai artis yang hidup susah dan perlukan bantuan," kata penyanyi dan penyampai radio, Mawi, 42.

Mawi berkata demikian ketika diminta mengulas ada segelintir pihak yang memandang sinis isu artis tidak ada 'job' atau tawaran pekerjaan dan memerlukan bantuan ketika ini.

Menurut Mawi, dia berharap golongan artis yang berkemampuan supaya tidak melupakan rakan seperjuangan mereka yang kurang bernasib baik.

Katanya, ramai artis dalam industri seni tanah air termasuk golongan veteran yang diuji tiada 'job' ketika ini.

"Ada artis yang tiada sumber pendapatan untuk teruskan kehidupan termasuk untuk makan dan minum serta dihalau dari rumah sewa.

"Saya dapat tahu ada tiga artis yang berdepan masalah berkenaan," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, kata Mawi, dia kini bekerjasama dengan Persatuan Bina Seni dan Budaya (Perseni) yang mempunyai misi membantu golongan anak seni yang memerlukan sejak ditubuhkan setahun lalu.

"Saya sudah 18 tahun berkecimpung dalam bidang seni dan sebagai artis saya juga terpanggil untuk membantu anak seni yang memerlukan bantuan.

"Justeru, saya bekerjasama dengan Perseni yang juga Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai ikon aktivis bersama rakan artis, Man Raja Lawak.

"Perseni ditubuhkan atas inisiatif penerbit Studio Kembara yang mahu beri semula kepada masyarakat selepas kejayaan filem Mat Kilau yang mencetuskan fenomena sebelum ini," katanya.

Mengenai Perseni lagi, kata Mawi, ia bukan terhad untuk membantu anak seni dan kru belakang tabir yang memerlukan.

"Pihak kami juga buat kutipan dan tabung untuk membantun anak yatim dan ibu tunggal. Antara yang pernah dibantu ialah artis veteran Mak Jah, Allahyarham Bad Indigo, Jaafar Onn, Roy dan Nas Ahmad," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 2:49 PM