FBI (tengah) bersama Mawi dan Anas Tahir
FBI (tengah) bersama Mawi dan Anas Tahir
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi dan penyampai radio Zayan FM, Mawi memaklumkan berita gembira apabila penyampai radio popular, Faizal Ismail (FBI) akan menyertai segmen Zayan Pagi bersamanya dan Anas Tahir. "Selalu kami berdua. Mulai esok kami bertiga!," tulisnya di Instagram.

Mawi, 41, atau nama sebenarnya Asmawi Ani yang dihubungi berkata, mereka gembira menyambut kehadiran bekas pengacara popular terbabit pagi esok.

"Kami akan bersiaran dari Isnin hingga Jumaat pada jam 6 hingga 10 pagi. Kehadiran FBI pasti akan memeriahkan lagi suasana pagi peminat.

"Sudah pasti dia akan mencurahkan pengalamannya sepanjang terbabit dalam dunia penyiaran selama ini kepada kami.

"Buat masa ini saya tak dapat ulas lanjut kedudukan FBI, tapi kalau ada rezeki, dia akan jadi penyampai tetap bersama kami," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mawi melahirkan simpatinya terhadap keadaan kesihatan Datuk Ustaz Kazim Elias sekarang.

"Saya berharap dia cepat sembuh. Saya amat bersimpati juga baca cerita terbarunya menerusi akhbar. "Baru-baru ini pun saya tengok dia buat ' live' di Instagram dan tertanya-tanya kenapa mukanya bertutup pula. "Apabila dengar lanjut, rupa-rupanya begini ceritanya. Harap Ustaz Kazim kuat berdepan dugaan yang menimpanya," katanya.

Mawi berkata, sebelum memulakan penggambaran filem ketiganya, Zim Zim Ala Kazim, banyak yang diperbualkan antara mereka berdua.

"Filem ini adalah inspirasi kisah benar kehidupan Ustaz Kazim. Namun penceritaan hanya sebahagian yang ditampilkan dan bukan semuanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 4:05 PM