MAWI
MAWI
Ridzuan Abdul Rahman


Bandar Baru Bangi : Penyanyi, Mawi, 42, menerima hakikat kerjaya dalam industri hiburan ada pasang surutnya dan perlu mencari alternatif lain bagi mencari pendapatan.

Mawi berkata, dia perlu pandai mencari peluang-peluang yang ada dan banyak dibantu isterinya, Ekin dalam urusan ini.

"Apa yang boleh saya buat, saya buatlah antaranya menerusi perniagaan. Isteri saya pula jenis tak boleh duduk diam. Ada saja perniagaan yang dia buat.

"Dia yang banyak galakkan saya untuk berniaga dan selalu ingatkan kerjaya dalam bidang hiburan tak kekal lama. Jadi, saya ambil keputusan keluarkan produk kesihatan Mawi x Bajunid sebagai persediaan masa depan.

"Sebelum ini saya hanya jadi duta produk orang, sekarang saya keluarkan produk sendiri," katanya ditemui pada majlis kenduri doa selamat dan pelancaran produk ini di Surau Al-Munawwarah, Bangi Golf Resort, di sini.

Bekas pemenang Akademi Fantasia 3 ini berkata, tawaran menyanyi masih diterima, namun dia mengehadkan pada Jumaat sehingga Ahad saja kerana selebihnya dia bekerja.

"Hari biasa saya bertugas sebagai penyampai radio Zayan FM. Saya bersyukur kerana ada pendapatan bulanan. Nyanyian pula rezeki lain sekarang.

"Dulu dahsyat sangat perginya. Lepas AF, empat lima tahun selepas itu boleh dapat jumlah tak masuk akal. Bayaran sampai RM80,000 pun orang tak kisah janji saya datang.

"Sekarang saya jalan saja. Alhamdulillah masih ada rezeki. Tiap-tiap minggu ada orang panggil. Macam-macam tawaran termasuk yang pelik-pelik. Majlis kahwin pun ada jemput saya. Yang penting memang bayarannya bukan biasa-biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 1:17 PM