FARA Fauzana (tengah) bergandingan bersama Issey (kiri) dan Fizi (kanan) mengendalikan slot Team Pagi Suria. FOTO Facebook Suria FM
FARA Fauzana (tengah) bergandingan bersama Issey (kiri) dan Fizi (kanan) mengendalikan slot Team Pagi Suria. FOTO Facebook Suria FM
Norhayati Nordin


"TAK sangka suara saya masih lagi dirindui oleh pendengar meskipun sudah tiga tahun meninggalkan konti sebagai penyampai radio.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur," kata penyampai radio berpengalaman, Fara Fauzana, 39, yang kini menyertai stesen Suria FM.

Bermula Isnin lalu, Fara Fauzana berganding dengan Issey dan Fizi Ali untuk slot Team Pagi Suria dari jam 6 hingga 10 pagi.

Menerusi gabungan itu, ia sekali gus melengkapkan slot berkenaan yang kini dikenali dengan nama Team Pagi Suria x Fara Fauzana.

Ternyata kemunculan Fara Fauzana sebagai penyampai radio masih berbisa biarpun dia boleh dilabel sudah senior dan banyak pengalaman.

"Apapun, saya akui 'skil' yang dimiliki mungkin sedikit berkurangan. Namun, saya sangat teruja dapat kembali beraksi di radio," katanya.

Sebelum ini, Fara Fauzana atau nama sebenar Farah Fauzana Mohd Fadzil bergabung dengan rakan baiknya, Faizal Ismail mengendalikan program DBilique di YouTube.

Program berkonsepkan bual bicara itu mengundang selebriti tanah air popular dan rakamannya dibuat di sebuah kediaman yang disewa di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Baru berusia setahun jagung, program DBilique semakin dikenali ramai kerana konsep temu bualnya yang santai seperti berada di rumah.

Sementara itu, Suria FM dalam kenyataan segera dikeluarkan mengesahkan Fara Fauzana kini menyertai stesen itu sebagai penyampai untuk 'Team Suria Pagi'.

Kehadiran Fara Fauzana yang menggalas tugas dan tanggungjawab memeriahkan slot 'Team Pagi Suria' itu diyakini lebih menjadi perhatian.

Pembabitan Fara Fauzana dalam penyiaran radio sudah bermula sejak 2003 dan sekitar Februari 2016 lalu dia mengumumkan pengundurannya.

Sepanjang kariernya di radio, Fara Fauzana sudah mencatat kejayaan peribadi tersendiri apabila terus mengungguli kategori Penyampai Radio Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) dari 2006 hingga 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 10:03 PM