FARA kembali riuhkan konti radio sejak sertai Suria FM 26 Ogos lalu.
FARA kembali riuhkan konti radio sejak sertai Suria FM 26 Ogos lalu.
Norhayati Nordin


AURA persembahan dan kelunakan suara pelakon dan pengacara berpengalaman, Fara Fauzana di konti radio tidak perlu dipertikaikan.

Ternyata, penangan pemenang anugerah Penyampai Radio Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) dari 2006 hingga 2014 ini masih tetap berbisa.

Tempoh tiga tahun meninggalkan stesen radio Hot FM turut membuatkan segelintir peminat Fara, 39, merindui keriuhannya menceriakan semula konti radio.

Kini, segala kerinduan itu terubat apabila Fara menyertai Suria FM sejak 26 Ogos lalu bersama Team Pagi Suria.

Berbicara kemunculannya, Fara berkata, semua itu bermula apabila dia dihubungi Suria FM yang menjemputnya menceriakan suasana di konti.

“Ketika itu, saya hanya terfikir orang sudah menjemput datang ke konti jadi kenapa hendak menolak? Bagi saya, tidak ada salahnya terima undangan berkenaan.

“Memang mereka (Suria FM) yang undang dan kenapa tidak saya menerimanya dengan baik sekadar untuk bersama-sama memeriahkan suasana pagi dengan pendengar?

“Lagipun, undangan bertugas semula di konti radio itu tidak sedikit pun mengganggu kerja saya meneruskan perjalanan program DBilique,” katanya.

Fara berkata, sehingga kini perjalanan program DBilique di YouTube yang dikendali bersama rakan baik, Faizal Ismail atau FBI masih diteruskan seperti biasa.

“Syukur alhamdulillah, DBilique nampaknya masih sibuk saya uruskan walaupun Faizal akan ke United Kingdom untuk melanjutkan pengajiannya. Malah, DBilique juga mungkin bersiaran dari sana. Bagaimanapun, untuk saya semuanya adalah terbaik,” katanya.

Program berkonsepkan bual bicara DBilique mengundang selebriti tanah air popular untuk berborak santai sudah dikendalikan Fara dan Faizal sejak setahun lalu dan kini makin dikenali ramai.

Bersama Team Pagi Suria pula Fara bergabung dengan Issey Fazlisham dan Fizi Ali menghiburkan pendengar dari jam 6 pagi hingga 10 pagi setiap Isnin hingga Jumaat.

Mengulas kerjasama dengan dua rakan penyampai baharunya, Fara berkata dia tidak ada masalah mewujudkan keserasian kerana masing-masing saling membantu.

“Setakat ini, saya selesa saja bekerjasama dengan Issey dan Fizi. Gandingan kami bertiga berjalan lancar dan semoga pendengar terhibur,” katanya.

Pembabitan Fara dalam bidang penyiaran radio bermula sejak 2003 bersama Era FM dan pada 2006 dia menyertai Hot FM sehingga Februari 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 5:25 AM