Fara Fauzana anggap tanggungjawab berat. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Fara Fauzana anggap tanggungjawab berat. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Syafil Syazwan Jefri


BEKAS pengacara dan penyampai radio, Fara Fauzana, 38, tidak mahu dilabel sebagai aktivis kemanusiaan kerana ia tanggungjawab berat.

Menjadikan Heliza Helmi sebagai idola, Fara atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohd Fadzil tidak menolak untuk terus melakukan kerja-kerja amal dan kemanusiaan.

“Saya menjadikan Heliza Helmi sebagai idola dalam melakukan kerja-kerja amal dan kemanusiaan. Bagi saya, dia ikon kemanusiaan yang sejati,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Fara, dia hanya sesuai memegang gelaran sebagai sukarelawan kemanusiaan.

“Label sebagai aktivis kemanusiaan itu terlalu besar dan berat untuk saya pegang. Apa saya lakukan sekarang, hanyalah terbabit sebagai sukarelawan dan juga ahli jawatankuasa untuk beberapa aktiviti kemanusiaan.

“Kalau lihat kepada Heliza, dia tidak terbabit pun dengan mana-mana badan bukan kerajaan berkaitan kemanusiaan, sebaliknya, dia sendiri yang akan menawarkan komitmen sekiranya ada yang memerlukan tenaga kerja tambahan,” katanya.

Bantuan tidak semestinya datang dalam bentuk kewangan, tetapi juga sokongan dan menggunakan kelebihannya sebagai selebriti.

“Saya tak mampu nak berikan bantuan dalam bentuk wang ringgit. Jadi, kebanyakan bantuan yang saya hulurkan adalah dengan mempromosikan dan memberi kesedaran menerusi akaun media sosial saya.

“Contohnya, hari ini, saya berada di sesi jualan barangan terpakai milik selebriti tempatan. Di sebelah petang pula, saya ada satu lagi majlis sama, untuk mengutip dana buat pesakit kanser.

“Dari situ, saya secara tak langsung memberikan bantuan dan pada masa sama, mengajak orang ramai untuk turut serta memeriahkan lagi acara,” katanya.

Terbaru, Fara kini menjadi penyampai dan pengacara program DBilique bersama Faizal Ismail dan beberapa penyampai lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 7:12 PM