Oleh Michelle Gun

Selepas empat minggu mengharungi pelbagai cabaran, salah seorang daripada enam finalis Projek Radio Hot FM bakal dinobatkan juara program realiti radio itu, esok.

Keputusan pemenang akan diumumkan pada final yang akan disiarkan secara langsung menerusi stesen radio Hot FM dan saluran 8TV pada jam 7 pagi.

Namun, sebelum itu, enam finalis terbabit iaitu Nad, 19; Ean, 25; Tun Nadia, 29; Ann, 23; Falyq, 25; dan Ayed, 23, dikehendaki melakukan tiga tugasan terakhir untuk dinilai juri.

Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 berserta kontrak dengan Hot FM.

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima wang tunai RM5,000 dan RM3,000.

Biarpun mempunyai pengalaman tujuh tahun sebagai penyampai radio Nasional FM, Tun Nadia mengakui program realiti itu banyak memberi pendedahan baru kepadanya.

"Di kelas latihan, saya berpeluang mempelajari cara penyampaian secara moden dan teknik pernafasan moden," katanya.

Menurutnya, tujuan menyertai program realiti itu adalah untuk mencari pengalaman baru serta mengasahkan lagi bakat sebagai penyampai radio.

Ann yang menggalas tugas sebagai wartawan penyiaran di Primeworks Studios ingin mengembangkan lagi bakatnya dalam bidang penyiaran.

"Sebenarnya saya minat menjadi penyampai radio sejak kecil, tetapi tidak pernah diberi peluang," katanya yang meminati Fara Fauzana.

Katanya, seandainya menang esok, dia ingin memperkenalkan program baru yang menyalurkan maklumat berkaitan fesyen seperti 'hipster' dan hijab yang digemari pendengar belia.

Seperti finalis lain, Ean menyertai Projek Radio kerana minat dan ingin menceburi bidang baru.

"Sebelum ini, saya bekerja sambilan sebagai pengacara televisyen dan bakat suara di RTM. Mengendali program televisyen dan radio tiada jauh perbezaannya, jadi saya me-ngambil peluang ini untuk mengembangkan bakat ke bidang baru," katanya.

Menggemari segmen Muzik Paling Hangat Hot FM, bapa kepada dua anak itu berkata, sekiranya diberi peluang, dia ingin berkongsi lagu yang genrenya berbeza dengan pendengar.

Sebagai peserta paling muda dalam program realiti itu, Nad meminati bidang radio sejak kecil lagi malah mengakui dirinya suka bercakap.

"Saya juga suka mendekati orang dan menerusi bidang ini memberi peluang untuk mengenali pendengar dengan lebih dekat lagi," katanya.

Biarpun masih belajar di semester tiga Diploma Komunikasi dan Media, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu,Melaka itu nekad merealisasikan impiannya.

"Tak sangka saya berjaya memasuki final walaupun tugasan diberikan agak mencabar," katanya.

Bagi Ayed pula, bakat sebagai penyampai radio disedarinya ketika bertugas dengan Skuad Era.

"Sebelum ini, saya seorang yang pemalu, tetapi sikap itu berjaya dikikis selepas menyertai Skuad Era kerana perlu menyalurkan maklumat secara langsung kepada pendengar," katanya.

Menjadikan Ikhwan sebagai idolanya, Ayed berkata, penyampai radio Hot FM itu memberi kata-kata semangat kepadanya untuk mengharungi final.

Memiliki personaliti peramah dan suka berjenaka, Falyq berhasrat untuk menghiburkan pendengar radio dengan membuat lawak.

"Seandainya menang, saya mahu cadangkan Hot FM untuk mewujudkan slot baru untuk pendengar berkongsi lawak," katanya yang menggemari segmen Hot FM Zone.

Final Projek Radio Hot FM esok bakal menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul, Pengarang Hiburan Harian Metro Roslen Fadzil dan seorang selebriti sebagai juri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:02 AM