FARA Fauzana. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
FARA Fauzana. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin


WALAUPUN sudah tiga tahun meninggalkan konti radio Hot FM, banyak kenangan yang tidak pernah dilupakan Fara Fauzana. Apatah lagi, bekas penyampai radio wanita popular ini mengakui dahulu dia begitu mengutamakan tuntutan tugas digalasnya.

Mengimbau secebis kisah lalu, Fara, 39, berkata, dia tahu suatu ketika dahulu mungkin ramai orang kurang menyenangi dirinya.

“Saya bukan seorang yang bersikap sombong, cuma ketika itu lebih selesa memberi keutamaan pada urusan kerja di stesen radio. Jadi, apabila muncul dalam majlis hiburan, saya selalunya tidak mahu duduk terlalu lama dan tergesa-gesa mahu pulang.

“Bukan untuk balik ke rumah tetapi saya mengejar masa kembali ke stesen radio kerana ada banyak kerja nak dilakukan,” katanya.

Pemilik nama sebenar Farah Fauzana Mohd Fadzil ini berkata, dia memohon maaf kepada sesiapa yang pernah tersinggung dengannya.

“Saya mohon maaf di atas apa yang pernah berlaku dahulu. Kini, saya banyak berubah kerana faktor usia dan makin banyak ilmu ditimba.

“Saya sedar banyak kesilapan dibuat dan sesiapa yang pernah tersinggung tolong maafkan kekhilafan itu,” katanya.

Mengulas juga perkembangan terkini kariernya, Fara berkata, sekarang dia bergabung dengan rakan baiknya, Faizal Ismail (FBI) menjayakan program digital DBilique.

DBilique boleh ditonton di YouTube adalah program bual bicara santai yang mengundang selebriti ke studio.

“Terus terang, kini tumpuan saya sepenuhnya difokuskan untuk publisiti dan promosi DBilique yang masih baru beroperasi.

“Saya bersama Faizal rancak turun padang untuk bertemu orang ramai bagi memperkenalkan program DBilique kami,” katanya.

Menurut Fara, banyak usaha perlu dipertingkatkan lagi kerana DBilique umpama ‘kedai baru’ miliknya dan Faizal.

“Sekarang memang tengah seronok cari dan rancang isi kandungan program yang mahu diketengahkan termasuk mendapatkan kerjasama daripada selebriti berminat.

“Jujur saya katakan, memang segan sebenarnya nak menghubungi selebriti untuk diajak sebagai tetamu ke studio DBilique kerana bimbang mereka tidak tahu program ini.

“Namun, sangkaan saya meleset kerana ramai juga rakan selebriti yang tahu mengenai DBilique dan berminat diundang sebagai tetamu,” katanya.

Fara berkata, belum pun setahun beroperasi, DBilique semakin mendapat kepercayaan pelbagai pihak untuk bersama melancarkan perjalanannya.

Berbicara mengenai konsep DBilique, Fara memberitahu ia adalah sebuah rumah yang meraikan kehadiran tetamu.

“Hiasan rumah yang santai, selesa dan tenang untuk berehat kerana ada dapur ada ruang rehat untuk bersenam.

“Sangat sesuai untuk dikunjungi tetamu yang keadaannya pasti membuatkan orang yang datang tak mahu balik,” katanya.

Antara selebriti tempatan yang sudah diundang ke DBilique ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Khai Bahar, Sufian Suhaimi, Noorkhiriah, Zara Zya, Jihan Muse, Siti Nordiana, Amelina dan Remy Ishak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 4:30 AM