DALIMAWATI terharu tersenarai Top 5 ABPBH. FOTO: Nurul Shafina Jemenon
DALIMAWATI terharu tersenarai Top 5 ABPBH. FOTO: Nurul Shafina Jemenon
Syanty Octavia Amry


PELAKON yang popular dengan watak Hantu Kak Limah, Dalimawati Ismail terharu dan terkejut apabila namanya tercalon dalam senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 32 bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular.

Dalimawati, 61, berkata, hampir 30 tahun berada dalam industri seni, ini pertama kali namanya tercalon dalam anugerah berprestij itu.

“Saya memang terkejut dan tidak sangka apabila nama tercalon dalam senarai Top 5, maklumlah pada usia begini dan sudah lama dalam bidang lakonan ia sesuatu yang mustahil.

“Namun, saya yakin berkat sokongan peminat yang tidak putus-putus terhadap saya apatah lagi selepas saya membintangi filem Hantu Kak Limah,” katanya.

Dalimawati berkata, dia tidak menafikan filem Hantu Kak Limah antara sebab mengapa namanya tercalon.

“Hantu Kak Limah antara yang menaikkan nama saya dan menyebabkan peminat lebih mengenali diri saya. Terima kasih kepada pengarah Mamat Khalid kerana memberi peluang dan terima kasih juga kepada arwah Hani Mohsin dan Puan Seri Tiara Jacquelina kerana mereka antara orang terawal yang menaikkan nama saya,” katanya.

Bersaing dengan nama-nama besar seperti Erra Fazira, Mira Filzah, Hannah Delisha dan Uqasha Senrose, Dalimawati mengakui sedikit gusar, namun mempunyai harapan yang tinggi untuk menang.

“Pastinya saya mengharap untuk menang, apatah lagi pertama kali nama tercalon dalam Top 5, ia bukan sesuatu yang mudah untuk saya berada ke tahap ini.

“Saya sangat menghargai sokongan peminat yang mengundi saya kerana itulah saya meletakkan harapan untuk menang walaupun sedar saingan begitu sengit daripada pelakon lain yang tercalon,” katanya.

Tidak pernah terfikir untuk menaikkan harga jika kemenangan berpihak kepadanya, Dalimawati berkata, artis lama di Malaysia bukanlah seperti bintang Hollywood yang semakin mahal harganya apabila sudah berusia.

“Saya sedar akan keadaan di industri lakonan di Malaysia, dalam soal bayaran saya meletakkan harga yang berpatutan sesuai dengan kerja yang dilakukan.

“Jika saya menang sekali pun, harga saya masih sama lagipun sering berlaku jika kita sudah menang sesuatu anugerah, penerbit dan produksi jadi takut untuk ambil berlakon.

“Kerana itulah saya melakukan kerja ikhlas dan sesuai dengan bayaran, jika dirasakan bayaran yang diberi tidak bersesuaian saya akan tolak dengan cara baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 3:20 PM