ALIFF Iskandar.
ALIFF Iskandar.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi muda, Aliff Iskandar yang baru setahun bergelar penyanyi masih sukar mempercayai namanya tercalon dalam Top 5 kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH34).

Aliff berkata, dia seperti bermimpi apabila namanya berada di kedudukan Top 5 sekali gus sebaris dengan calon-calon hebat lain.

"Terkejut dan seakan sedang bermimpi. Walaupun belum sampai setahun dalam industri seni, tapi sokongan peminat begitu membuatkan saya terkejut dan terharu. Saya tak pernah rasa diri popular, mungkin rezeki populariti lagu Perit membantu menaikkan nama saya.

"Saya tak pernah paksa orang undi dan jauh sekali nak beli undi, cuma sekadar promosi di media sosial. Saya berterima kasih kepada peminat kerana ini semua adalah usaha mereka.

"Nama tercalon dalam Top 5 pun dah satu penghargaan, lebih-lebih lagi masih baru dalam industri hiburan ini," katanya.

Bagi kategori berkenaan, Aliff bersaing dengan empat lagi nama lain iaitu Meerqeen, Nadhir Nasir, Fadh Majid dan Dinie Rashid.

Menurut Aliff, dia tidak meletakkan sebarang sasaran pada kategori itu kerana melihat kepada calon lain semuanya memiliki populariti tersendiri.

"Saya tak mengharap atau tertekan jika tidak menang. Saya sekadar nak meraikan penganjuran anugerah ini. Tak kisahlah siapa pun menang, sekurang-kurangnya program ini dapat merapatkan lagi kami.

"Semua saingan sengit tapi paling terdekat dengan saya ialah Meerqeen dan Nadhir. Mereka berdua boleh dikatakan sudah popular dan dikenali ramai.

"Menang atau tidak saya akan tetap aktif dalam bidang seni. Perjalanan saya pun masih jauh lagi, banyak lagi yang perlu saya belajar dalam industri seni ini," katanya.

Malam kemuncak ABPBH34 akan disiarkan secara langsung di TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada 13 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 12:59 PM