Laporan HM mengenai Awie dan Dalimawati berhubung pemmberian bonus sebelum ini. FOTO fail HM Digital
Laporan HM mengenai Awie dan Dalimawati berhubung pemmberian bonus sebelum ini. FOTO fail HM Digital
Sudirman Mohd Tahir


PENERBIT filem Hantu Kak Limah (HKL), Astro Shaw dan Infinitus Gold dalam satu kenyataan media kepada Harian Metro menjelaskan pembayaran wang bonus kepada pelakon dan kru filem itu adalah atas tanda penghargaan dan budi bicara.

Menerusi kenyataan diberikan, pihak penerbit perlu berdepan dengan pelbagai risiko sebelum

sesebuah filem mendapat kutipan yang tinggi.

"Pembahagian keuntungan harus ditolak dengan 25 peratus melalui cukai hiburan. Dari jumlah baki itu, ia harus dibahagikan dengan pihak pemamer sebanyak 40:60.

"Dengan jumlah 40 peratus itu, penerbit akan menolak segala kos produksi, pemasaran dan pengedaran sebelum jumlah keuntungan dicapai.

"Kebiasaannya barisan pelakon dan kru sudah ditetapkan jumlah bayaran dan tiada pemberian bonus seperti di dalam kontrak. Namun begitu, penerbit HKL berbesar hati

memberi bonus buat barisan pelakon dan kru atas tanda penghargaan dan budi bicara," menurut kenyataan media dikeluarkan.

Bagaimanapun dalam kenyataan itu, pihak penerbit turut berterima kasih kepada peminat filem tempatan yang sudah memberi sokongan kepada filem berkenaan hingga mengutip jumlah kutipan pecah panggung RM38 juta.

"HKL adalah salah satu filem yang melangkau jangkaan sekali gus berjaya mencipta fenomena tersendiri.

"Kami amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang sudah memberi sokongan pada filem ini.

"Industri perfileman tempatan sudah lama mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak antaranya studio produksi, pihak pawagam, barisan pelakon, kru, pelabur dan peminat," jelasnya.

Menurut pihak penerbitan, Sehingga awal November 2018, sebanyak 43 filem sudah diterbitkan oleh pelbagai produksi di Malaysia.

Bahkan ada diantara filem diterbitkan itu mendapat pulangan Gross Box-Office (GBO) yang baik berikutan sokongan penonton.

Terdahulu, dua pelakon utama filem HKL iaitu, Datuk Awie dan Dalimawati meluahkan rasa terkilan dan kecewa dengan wang bonus diterima mereka.

Awie dan Dalimawati berkata, jumlah itu tidak setimpal dengan usaha pelakon dan sumbangan pekerja belakang tabir filem itu.

Berita berkaitan:Dalimawati 'sedih' juga

Berita berkaitan:'Nak cakap pun malu...' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 9:44 PM