MAMAT Khalid.
MAMAT Khalid.
Riadz Radzi


Belasungkawa - Mamat Khalid (6 April 1963 - 24 Oktober 2021)

Hari ini pastinya hari paling sedih buat industri perfileman tanah air.

Mamat Khalid, pengarah berkaliber yang cukup dihormati penggiat dan peminat filem tanah air pergi menghadap Ilahi dalam usia 58 tahun akibat serangan jantung di kafe miliknya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak, jam 12.30 malam tadi.

Mengenali Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohd Khalid ini, beliau mungkin nampak serius ketika duduk di kerusi pengarah.

Namun, hakikatnya Mamat memang kelakar, suka bergurau, murah dengan senyuman dan sinonim dengan kebanyakan genre filem arahannya iaitu komedi.

Apabila bercerita mengenai karya-karya Mamat dan gaya pengarahannya, Mamat ada identitinya sendiri.

Maksudnya, jika kita menonton filem berkenaan tanpa dimaklumkan siapa pengarahnya, kita boleh tahu itu filem Mamat Khalid berdasarkan dialog, cerita, pelakon dan lokasi filem itu.

Dialog dalam loghat Perak dan lokasi penggambaran di sekitar Perak seperti Ipoh, Kuala Kangsar dan Taiping sudah menjadi 'trademark' dalam filem-filem Mamat.

Satu lagi kelebihan Mamat yang juga anak jati Kampung Sungai Rokam, Ipoh itu ialah dia tidak terlalu bergantung kepada pelakon-pelakon popular sebagai watak utama dalam filemnya.

Ini boleh dilihat dalam filem pecah panggung arahannya seperti Hantu Kak Limah, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Rock Bro!, Rock Oo!, Rock dan 18 Puasa Di Kampong Pisang.

Pelakon yang kurang dikenali sebelum itu seperti Syed Mohamad Asri Syed Zainal Abidin Jamalullail yang membawa watak Usop Wilcha, Allahyarham Rab Khalid (Yeh Sekupang), Allahyarham Man Kadir (Pak Jabit), Dewa Sapri (Cik Purnama), Azmi Baharon (Black), Sharwani NS (Wani, Dio), Afea Deana (Yah Kuchei) dan Rashid Othman (Faguha Jabar) berjaya menampilkan lakonan berkesan hasil bimbingan Mamat.

Malah, kebanyakan watak-watak tambahan yang terdiri daripada rakan-rakan sekeliling termasuk rakan media yang diminta menjadi 'pelakon' juga mampu menjayakan watak masing-masing.

Siapa tidak kenal dengan watak pembantu perubatan dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah lakonan bekas Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar yang popular dengan dialog, 'bala...bala...'

Begitu juga dengan nama-nama yang sedia dikenali antaranya Belle Ngasri (Barkoba), Kazar (Pak Din), Joey Daud (Daud M), Delimawati (Kak Limah), Khir Rahman (Jijo), Kamarul Haji Yusof (Cik Man) dan Allahyarham Loloq (Ah Lok, A Kamsan) yang terus mencipta populariti selepas 'menjadi' dengan watak ciptaan Mamat.

Mamat juga dilihat berjaya menjadikan Awie cukup sebati dengan watak Husin.

Menerusi watak itu, Mamat berjaya 'menukar' Awie yang kita kenali sebagai penyanyi Wings atau watak-wataknya dalam filem Datuk Yusof Haslam satu ketika dulu kepada seorang yang kelakar.

Husin membuatkan orang tahu Awie sebenarnya berbakat besar sebagai pelakon komedi. Malah, sehingga ke akhir hayatnya, Mamat memanggil Awie dengan nama Husin walaupun bukan dalam penggambaran.

Selain itu, komedi Mamat bukanlah 'slapstick', tetapi komedi satira. Dalam setiap karyanya, Mamat pasti menyelitkan kritikal sosial serta mewujudkan banyak watak yang mempunyai kaitan dengan senario politik negara dan isu semasa.

Mamat juga kerap memaparkan mesej perpaduan dan berbilang kaum dalam karyanya. Dalam setiap filemnya, pasti ada diselitkan babak membabitkan kaum Cina dan India mengenai budaya masing-masing.

Jika diteliti, Mamat yang juga adik kepada kartunis tersohor, Datuk Lat mungkin mengambil inspirasi daripada karya Lat yang kerap mengetengahkan mesej sama dan kartun-kartunnya.

Walaupun ketika hayatnya, Mamat seperti 'tidak selesa' jika ada yang membandingkan dia dengan abangnya itu, tapi penulis percaya sedikit-sebanyak Mamat ada mengambil inspirasi daripada Lat.

Selepas tampil dengan filem pertama arahannya, Lang Buana pada 2003, Mamat sudah mengarah 24 filem termasuk Rajawali : Aku Abang Long yang belum sempat ditayangkan.

Antara filem popularnya ialah Rock, Rock Oo!, Rock Bro!, Zombie Kampung Pisang, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Hantu Kak Limah, Man Laksa, Estet, Kala Malam Bulan Mengambang, Apokalips X, Manap Karaoke dan 18 Puasa Di Kampong Pisang.

Selain filem komedi, Mamat turut tampil dengan filem genre berat dan 'dark' seperti Lebuhraya Ke Neraka, Amir & Loqman Pergi Ke Laut dan Rumah Pusaka Di Simpang Jalan.

Mamat turut menghasilkan telefilem dan drama bersiri yang terus diingati seperti Namaku Yassin, Rombongan Cik Kiah Sukan Komanwel, Pinang Durian, 15 Puasa, 16 Puasa, 17 Puasa dan Kampung Pisang Bersiri-Siri.

Selain itu, Mamat juga menulis skrip untuk hampir semua filem dan telefilem arahannya.

Sepanjang kerjayanya, Mamat diangkat sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 pada 2008 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang dan Pengarah Terbaik di Anugerah Skrin 2002 menerusi telefilem Pinang Durian.

Apa yang pasti, pemergian Mamat sukar dicari ganti. Setakat ini, tidak ada pengarah atau penggiat filem yang memiliki aura seperti Mamat.

Mamat yang juga peminat tegar kumpulan rock Pink Floyd dan lagu-lagu Melayu era 1960-an ini adalah legenda dalam kelasnya tersendiri. Al- fatihah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 4:06 PM