GAMBIT menunjukkan gambar ikan dan katak yang dimakan ketika penggambaran filem Paskal. FOTO Instagram Gambit Saifullah
GAMBIT menunjukkan gambar ikan dan katak yang dimakan ketika penggambaran filem Paskal. FOTO Instagram Gambit Saifullah
Norhayati Nordin


GARA-GARA menjawab seorang pengikut dengan memaklumkan hukum makan katak adalah harus, ruangan komen Instagram (IG) pelakon Gambit Saifullah, 34, mencetuskan perbalahan.

Malah, dengan jawapan itu juga membuatkan warganet mengecam tindakan Gambit yang memintanya jangan bermain dengan hukum.

Apapun, ada juga warganet yang mempertahankan Gambit dengan pencerahan pelakon filem Karipap Karipap Cinta itu kini dalam latihan untuk watak komando.

Mengikut komen ditulis @azraeifikrey_10, Gambit bersama beberapa pelakon lain kini dilatih menjadi komando untuk filem Paskal yang baru.

"Mereka dilatih sebagai komando Paskal untuk filem dan diletakkan sama dengan yang lain.

“Juga diletakkan dalam situasi darurat, di mana mereka dilepaskan tanpa sebarang bekalan makanan," tulisnya.

Tulis @azraeifikrey_10 lagi, ketika itu dalam penggambaran, tapi situasi adalah sebenar.

Di mana tiada bekalan makanan dibawa sebab masih di bawah seliaan atau latihan sebenar.

Menerusi perkongsian foto dimuat naik Gambit atau nama sebenarnya Mohd Saifullah Rosli sekitar dua hari lalu, dia dilihat mencuba makan daging katak.

Tulis Gambit, pertama kali makan katak. Rasa seperti ikan atau mungkin seperti ayam.

Mendapat lebih 5,749 tanda suka, kapsyen foto itu juga menerima 203 komen daripada warganet yang menjadi pengikut IG Gambit.

Rentetan banyak komen kurang menyenangi tindakan makan katak itu, Gambit memuat naik pula foto dia memegang ikan dan katak.

Gambit menjelaskan dia dalam latihan ketenteraan di hutan dan menjadi pelatih di kem menyelamatkan diri.

Tulisnya, di dalam hutan. Kem menyelamatkan diri sebagai pelatih dalam latihan. Berhenti menilai dan jadilah Muslim yang baik.

Melalui perkongsian foto itu, lebih 2,663 warganet menyukai dan mendapat sebanyak 74 komen berbaur kritikan pedas.

Meskipun dua perkongsian foto dimuat naik di IG mendapat kritikan dan kecaman daripada segelintir warganet, Gambit seakan tidak berkecil hati.

Pelakon sensasi itu tetap memuat naik gambarnya yang masih menjalani latihan di hutan untuk filem baru lakonannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 6:06 PM