HAIRUL tidak kisah soal bayaran bonus yang mahu diberikan penerbit sama ada banyak atau sikit. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
HAIRUL tidak kisah soal bayaran bonus yang mahu diberikan penerbit sama ada banyak atau sikit. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Ramlah Zainal


PELAKON popular, Hairul Azreen mengakui dia masih belum menerima sebarang bayaran bonus membabitkan filem Paskal sampai sekarang.

Menurutnya, dia juga tidak tahu bilakah penerbit filem Paskal akan menjelaskan bayaran bonus terbabit kepada barisan pelakon.

“Saya juga tidak dimaklumkan pihak produksi mahupun penerbit sendiri mengenai maklumat terkini pembayaran bonus kepada barisan pelakon filem Paskal setakat ini,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas jumlah bonus yang akan diterimanya pula, kata Hairul dia sebenarnya tidak kisah berapa jumlah bayaran yang akan diberikan penerbit kepadanya selaku pelakon utama filem Paskal.

“Saya tidak kisah soal bayaran bonus yang mahu diberikan penerbit sama ada banyak atau sikit.

“Malah, sebelum penggambaran filem Paskal pun saya tidak tetapkan berapa jumlah bayaran bonus untuk saya kepada penerbit,” katanya.

Pada masa sama, kata Hairul dia tetap terima jika tiada bayaran bonus daripada penerbit sekalipun.

“Kalau tak dapat bonus pun saya tidak kisah. Saya bercakap untuk diri sendiri dan bukan mewakili barisan pelakon filem Paskal lain,” katanya.

Apapun, katanya, dia juga menganggap pembayaran bonus adalah hadiah kepada pelakon.

“Saya juga memiliki syarikat dan sering beri bonus pada kakitangan.

“Berapa bayaran bonus saya mahu beri kepada kakitangan mengikut keuntungan syarikat kerana orang luar tidak tahu apa yang dilalui syarikat,” katanya.

Terdahulu, isu pembayaran bonus filem Paskal yang mencecah kutipan RM30 juta diperkatakan ramai kerana barisan pelakon mendakwa masih belum menerima bayaran selepas setahun filem itu ditayangkan di pawagam.

Selain Hairul, filem Paskal arahan Adrian Teh menampilkan barisan pelakon iaitu Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G, Amerul Afendi dan Jasmine Suraya Chin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 6:43 PM