LAILA Nasir (kiri) ganti watak Mak Engku (kanan) sebagai Mak Long Sapiah dalam Curi-Curi Cinta. FOTO Arkib NSTP
LAILA Nasir (kiri) ganti watak Mak Engku (kanan) sebagai Mak Long Sapiah dalam Curi-Curi Cinta. FOTO Arkib NSTP
Ardini Sophia Sina


PELAKON veteran, Ku Fridah Ku Shafie atau Mak Engku tampil memaklumkan wataknya sebagai Mak Long Sapiah dalam drama Curi-Curi Cinta digantikan oleh Laila Nasir bermula episod sembilan yang ditayangkan malam tadi.

Menerusi sebuah video yang dikongsikan oleh Talha Harith, kata Mak Engku, dia mengalami masalah kesihatan ketika penggambaran drama berkenaan dijalankan.

“Saya ingin memohon maaf kepada peminat dan penonton drama Curi Curi Cinta kerana selepas ini anda tidak dapat melihat saya dalam drama ini.

“Bukan saja tarik diri tetapi saya kurang sihat ketika menjalani penggambaran drama berkenaan. Alhamdulillah, sekarang saya sudah sihat,” katanya.

Mak Engku turut berharap supaya semua penonton drama Curi-Curi Cinta dapat memberikan sokongan kepada Laila yang menggantikan tempatnya.

“Saya harap semua penonton sentiasa memberikan sokongan pada watak Mak Long Sapiah yang digantikan oleh Laila.

“Kepada Laila, saya ucapkan syabas dan jangan berputus asa kerana tahu anda boleh membawakan watak ini serta teruskan perjuangan,” katanya.

Sebelum ini, Mak Engku pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada Mac lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan darah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 3:43 PM