Azmi Osman (kanan) harap tiada yang berani ‘curi-curi’ masuk ke kawasan rekreasi yang ditutup.
Azmi Osman (kanan) harap tiada yang berani ‘curi-curi’ masuk ke kawasan rekreasi yang ditutup.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menasihati supaya penduduk tidak 'curi-curi' masuk ke kawasan rekreasi terutama air terjun yang masih ditutup kepada orang ramai.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, tindakan itu mengundang risiko yang sangat tinggi terutama negara yang sedang berada dalam musim tengkujuh dan monsun timur laut.

"Ada sesetengah kawasan yang masih lagi belum dibuka untuk orang ramai berkunjung bagi melakukan aktiviti riadah di sungai, air terjun dan sebagainya.

"Masyarakat hendaklah patuh dan jangan 'curi-curi' masuk ke kawasan berkenaan untuk mandi kerana mungkin boleh mendatangkan risiko," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azmi berkata, tinjauan beliau sendiri di satu air terjun baru-baru ini mendapati masih ada individu yang cuba meminta kebenaran untuk memasuki kawasan rekreasi yang masih ditutup tetapi dihalang.

"Sebagai contoh, daripada maklumat yang kita perolehi air terjun di Ulu Kenas ketika ini masih lagi ditutup kepada orang ramai. Jadi, orang ramai hendaklah akur kepada arahan pengawal keselamatan dan jangan curi masuk di kawasan berkenaan sama ada menggunakan kenderaan atau naik ikut bukit dan sebagainya," katanya.

Katanya, tindakan menyelinap masuk secara bersendirian atau berkumpulan tanpa kebenaran boleh mengundang bahaya.

"Ini kita bimbang, jika mereka masuk secara diam-diam dan bersembunyi ia sudah pasti berbahaya kerana apabila berlaku sesuatu tidak sesiapa nampak dan boleh hulurkan bantuan.

"Begitu juga dengan mereka yang aktif di media sosial, kita juga menasihati supaya jangan cuba masuk ke kawasan berkenaan secara bersembunyi semata-mata untuk menghasilkan 'content'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 6:02 PM