MICHAEL Ang mohon doa supaya kekal di jalan Allah dan mengalukan segala tunjuk ajar. FOTO Arkib NSTP
MICHAEL Ang mohon doa supaya kekal di jalan Allah dan mengalukan segala tunjuk ajar. FOTO Arkib NSTP
Amirul Haswendy Ashari


PENGARAH drama popular, Michael Ang, 43, mendedahkan sudah lebih setahun memeluk Islam.

Pengumuman itu disampaikan sendiri menerusi laman sosial Instagram dan YouTube hari ini.

"Alhamdulillah sudah lebih setahun saya bergelar Muslim dan sudah sedia memberitahu semua mengenai perkara ini.

“Sejujurnya, selama mendalami Islam, masih ada banyak perkara yang saya harus pelajari,” katanya.

Katanya, untuk mula menunaikan solat Jumaat rasanya lebih baik dia berterus-terang daripada masyarakat melihat dia ke masjid lalu diperkatakan orang.

Michael juga tidak mahu perkara itu diperbesarkan kerana percaya keputusan dibuatnya antara dirinya dan Allah.

“Doakan saja saya kekal di jalan ini dan mengalukan segala tunjuk ajar. Semoga kita semua menjadi yang terbaik di mata Allah,” katanya.

Katanya, dia masih mengekalkan nama asal Michael Ang Hai Swee biarpun sudah memeluk Islam.

Terdahulu, timbul khabar angin mengatakan dia sudah bergelar mualaf sejak mula belajar berpuasa pada Ramadan tahun lalu.

Malah beberapa foto Michael bersama pendakwah berbangsa Cina, Ustaz Firdaus Wong dan Ustaz Sheikh Hussain Yee selain sekeping kad perakuan Islam, tular di media sosial sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 6:16 PM