Rizanizam Abdul Hamid


MUALAF boleh mempelajari bacaan surah dalam bahasa Arab ketika solat secara sedikit demi sedikit sebelum dapat menguasai sepenuhnya.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, penguasaan secara beransur-ansur mengikut potongan ayat itu dibenarkan di dalam Islam.

"Kalau boleh belajarlah dalam bahasa Arab satu hari satu ayat atau dua hari satu ayat.

"Bayangkan kalau masuk hari kedua atau ketiga dia (mualaf) sudah boleh baca Bismillahirrahmanirrahim.. Alhamdulillahirobbilalamin...dan tambah lagi secara beransur-ansur.

"Adapun perbuatan menterjemahkan mengikut pandangan jumhur ulamak tidak dibenarkan kecuali adalah satu dalam mazhab Hanafi yang menyatakan boleh untuk baca seperti terjemah tapi diberi tempoh tertentu.

"Mungkin dia boleh baca Bismillahirrahmanirrahim yang diulang tujuh atau lapan kali seolah-olah sudah menyamai surah al Fatihah," katanya ketika dihubungi Metro Ahad hari ini.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai pengakuan pengarah Michael Ang yang melafazkan bacaan dan surah solat fardu dalam bahasa Inggeris kerana mengalami kesukaran untuk membacanya dalam bahasa Arab selepas lebih setahun memeluk Islam.

Michael berkata, jika mahu menunaikan solat dalam bahasa Arab, dia perlu meletakkan tele panduan solat di depan bagi memudahkannya.

Katanya, walaupun belum mahir untuk membaca surah, dia tetap menjalankan kewajipannya sebagai umat Islam.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pejabatnya akan mengeluarkan Bayan Linnas mengenainya secara khusus esok supaya jawapan terperinci isu adalah menggunakan rujukan kerana ia membabitkan hukum yang berasaskan fatwa.

"Saya akan jawab secara panjang lebar esok berdasarkan dalil-dalil, hujah-hujah dan saranan," katanya.

Ditanya, adakah sah solat seseorang mualaf itu sekiranya menggunakan terjemahan, beliau berkata;"Yang pertama dia bertakwa pada Allah ikut kepada kemampuannya, makna dia (Michael Ang) ikut (rukun) solat itu, dia buat semua yang mana dia boleh buat.

"Dia tahu dia cuba, tapi sepatutnya kena ada guru pembimbing yang bukan memaksa dan memayahkan," katanya.

Sementara itu, Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria ketika dihubungi berkata, seseorang mualaf dibenarkan melafazkan bacaan solat dalam bahasa Inggeris ketika awal penghijrahan.

“Bagaimanapun bagi seorang mualaf wajib baginya untuk belajar dan menimba ilmu cara solat yang sah termasuklah melafazkan bacaan mengikut surah dan tertib," katanya.

Berita berkaitan

Solat dalam bahasa Inggeris

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 3:59 PM