REMAJA Orang Asli, Nur Ayra Haniyah Jat (kanan) dan adiknya, Nur Jannah kali kedua menjalani ibadah puasa. FOTO Mohd Rafi Mamat
REMAJA Orang Asli, Nur Ayra Haniyah Jat (kanan) dan adiknya, Nur Jannah kali kedua menjalani ibadah puasa. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: "Sebelum memeluk Islam lagi saya telah belajar berpuasa kerana mengikut rakan sekolah yang berpuasa," kata Nur Ayra Haniyah Jat, 24.

Kini, selepas dua tahun bergelar muslimah, katanya yang juga anggota masyarakat Orang Asli, dia tidak banyak berhadapan masalah untuk berpuasa dan solat selain melakukan perkara lain yang dituntut Islam.

Menurutnya, lebih manis lagi, ibadat puasa kali ini turut sama dilalui dengan adik, Nur Jannah, 22, yang mengikut jejaknya memeluk Islam pertengahan tahun lalu.

"Hati saya kini tenang selepas memeluk Islam. Tidak ada masalah selepas lebih setahun memeluk Islam. Agama ini banyak mengajar erti kehidupan yang sebenar terutama aspek ketaatan pada tuntutan Yang Maha Esa.

"Saya bertuah dan bersyukur apabila mendapat hidayah Islam pada usia yang muda, peluang menuntut ilmu agama begitu luas terbentang," katanya ditemui di sini kelmarin.

Dia yang kini sedang belajar di Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (Petama) di sini, berkata ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Koyan, Lipis dia berkawan dengan ramai rakan Islam dan daripada situ, timbul keinginan untuk memeluk Islam.

Nur Ayra Haniyah berkata, dalam keluarga, ibu, abang dan adiknya sudah memeluk Islam.

"Saya akan menamatkan pengajian di Petama pada 2025. Impian selepas itu adalah untuk menjadi pendakwah atau penggerak dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Kampung Jerangkak, Pos Betau, Lipis, tempat tinggal keluarga saya," katanya yang juga anggota masyarakat daripada suku Semai.

Bagi Nur Jannah, selepas kakaknya memeluk Islam pada Mac tahun lalu, dia mengikut jejaknya tiga bulan kemudian.

"Pengaruh rakan sekolah menarik minat saya untuk memeluk Islam, dikuatkan lagi apabila kakak, mak dan abang memeluk Islam terlebih dahulu.

"Saya seronok dapat menjalani ibadat puasa bersama anggota keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 12:31 PM