BRONT Palarae. FOTO arkib NSTP
BRONT Palarae. FOTO arkib NSTP
Ramlah Zainal


Siapa yang dapat menidakkan kehebatan aktor handalan Bront Palarae, 39, di persada seni tanah air ketika ini.

Malah, bakat lakonannya juga bukan sekadar diiktiraf di negara sendiri tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Bukan saja berlakon,

Bront juga sudah

mengembangkan sayapnya sebagai penerbit filem sejak 2010.

Terbaru, Bront menerbitkan filem genre aksi jenayah One Two Jaga

arahan Nam Ron yang menjengah pawagam sejak 6 September lalu.

Biarpun berdepan pelbagai cabaran dan kontroversi, Bront tetap bersyukur kutipan filemOne Two Jaga sudah mencecah RM500,000.

“Saya bersyukur dengan sambutan penonton tempatan terhadap filem ini.

“Pihak pawagam terutama TGV Cinemas menyokong filem ini dengan meneruskan tayangan selama seminggu lagi.

“Cuma tayangannya terhad kepada satu atau dua kali sehari,” katanya

kepada Metro Ahad.

Menurut Bront, maklum balas positif penonton terhadap filem itu menyuntik semangatnya untuk terus berkarya.

“Sambutan hebat terhadap filem Hantu Kak Limah dan Munafik 2 turut mengembalikan minat penonton untuk ke pawagam seterusnya menarik minat orang ramai menonton One Two Jaga.

“Kami juga tidak pernah patah semangat dengan jumlah kutipan itu kerana sedar filem sebegini masih boleh diterima penonton walaupun jumlahnya tidak sebesar filem komersial.

“Perkara ini turut berlaku di seluruh dunia dan bukan

saja di negara kita,” katanya.

Ditanya perancangan terkini One Two Jaga, Bront menjelaskan karya itu dicalonkan dalam kategori filem terbaik Asia, Five Flavours Asian Film Festival yang akan berlangsung di Warsaw, Poland pada 14 hingga 21 November depan.

“Ini adalah festival filem keempat yang kami sertai dan kali kedua dicalonkan bagi kategori filem terbaik.

“Semuanya berkat kerja keras mereka yang terbabit merealisasikan filem ini serta dihargai di peringkat antarabangsa.

“Masih ada beberapa festival lagi yang akan kami serta dan bakal diumumkan tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu, One Two Jaga juga ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa seperti New York Asian Film Festival, Shanghai International Film Festival dan Udine Far East Film Festival.

Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zahiril Adzim, Dr Rosdeen Suboh, Amerul Affendi, Along Ezyendy, Iedil Putra, Azman Hassan serta pelakon Indonesia, Ario Bayu dan Asmara Abigail.

Kembali ke lokasi

Selepas berehat kerana mengalami kecederaan di betis ketika penggambaran drama bersiri The Bridge baru-baru ini, Bront mengakui keadaannya beransur pulih.

“Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik. Saya baru selesai penggambaran siri The Bridge untuk saluran Viu dan ntv7.

“Drama dibikin semula dari siri popular antarabangsa itu diharap dapat diterima baik penonton tempatan,” katanya. Bront juga berkata, pihaknya menyenaraikan beberapa projek dan aktiviti seni yang bakal dilaksanakan tahun depan.

“Semuanya masih dalam proses pembangunan dan idea. Pihak kami juga perlu mencari wang untuk menampung kos produksi nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 9:02 PM