Bront harap filem dapat memberi teladan. FOTO HM Digital/IG
Bront harap filem dapat memberi teladan. FOTO HM Digital/IG
Amirul Haswendy Ashari


PRODUSER dan pelakon filem, Bront Palarae, 39, mengharapkan keajaiban berlaku kepada filem One Two Jaga yang ditayangkan di pawagam tempatan bermula hari ini.

“Daripada maklum balas serta komen di laman sosial oleh penonton sudah menonton, kita percaya filem ini boleh menghiburkan penonton tempatan.

“Cuma kita harapkan khalayak lebih cepat ke pawagam supaya boleh kekal ke minggu kedua sekali gus memberi ruang lebih ramai lagi menontonnya,” katanya.

Sebelum ini, melalui laman Twitternya, Bront mendakwa pihak pawagam mungkin akan menarik keluar filem terbitan syarikatnya itu dari tayangan mulai minggu depan.

Bagaimanapun, Bront dihubungi Harian Metro, hari ini berkata dia tidak dapat mengagak sama ada filem itu akan ditarik daripada pawagam bermula minggu depan atau tidak.

Katanya, dakwaannya itu sebagai mengingatkan penonton bahawa situasi itu tidak mustahil berlaku jika tidak mendapat sambutan di pawagam.

Dia mengharapkan filem itu bukan saja mampu membuatkan penonton terhibur malah dapat mengambil teladan serta memberi inspirasi kepada masyarakat tempatan.

Filem One Two Jaga arahan Nam Ron dibarisi pelakon Malaysia dan Indonesia iaitu Zahiril Adzim, Dr Rosdeen Suboh, Amerul Affendi, Chew Kin Wah, Ario Bayu dan Asmara Anigail.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 1:43 PM